Nurul Izzah Anwar
Perbicaraan ini merupakan satu percubaan jahat yang bukan sahaja berniat untuk menghina dan menghancurkan karier politik ayah, tetapi juga keutuhan keluarga kami. Perbicaraan ini sekali lagi mengingatkan rakyat tentang penglibatan Peguam Negara, pimpinan tertinggi Umno dan Ketua Polis Negara dalam perencanaan konspirasi 1998 – dan tentunya pembabitan mereka di dalam kes terbaru ini.
Saya ingin menegaskan dakwaan bahawa kes ini sebenarnya dilengah-lengahkan datang dari pendusta, pemfitnah, dan mereka yang sememangnya tidak faham atau arif tentang sistem perundangan negara.
Sewaktu kes dibicarakan di mahkamah majistret, Peguam Negara bersungguh-sungguh memohon agar kes tersebut dipindah untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Permohonan tersebutlah yang merupakan satu bentuk penangguhan – yang dipinta oleh MEREKA!
Kita semua maklum bagaimana ayah diminta membela diri oleh mahkamah walaupun bukti penting yang menunjukkan wujudnya kes prima facie tidak diserahkan kepada beliau. Ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang jelas menetapkan kewajipan pihak pendakwa berbuat demikian.
Justeru ayah terpaksa menggunakan saluran mahkamah untuk mendapatkan dokumen tersebut sebelum perbicaraan penuh dimulakan. Malangnya kami pula dituduh cuba untuk melengah-lengahkan kes.
Amat mendukacitakan rayuan kami ke Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan terhadap ayah turut ditolak sungguhpun bukti menunjukkan dakwaan wujudnya elemen “kemasukan” adalah tidak berasas. Selain itu, Mahkamah Rayuan sehingga ke hari ini masih belum menetapkan tarikh perbicaraan.
Sudahlah ayah dinafikan akses terhadap bukti-bukti untuk membela dirinya. Ditambah pula dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi yang ditolak serta permohonan kami agar keputusan itu disemak oleh Mahkamah Persekutuan, mana mungkin perbicaraan ini boleh diteruskan?
Kami tidak mengharapkan belas kasihan dari para konspirator tetapi setidak-tidaknya janganlah menuduh kami menggunakan proses mahkamah untuk melengah-lengahkan kes sedang kami sedari awal maklum keputusan mahkamah tidak akan memihak kepada kami. Hormatilah hak kami untuk menggunakan saluran mahkamah demi menegakkan keadilan. Sesungguhnya kami juga mahu keaiban kedua ini berakhir secepat mungkin agar kami dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.
Sungguhpun demikian, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih terus menyokong kami dalam usaha mengembalikan maruah kami sekeluarga serta maruah negara dan bangsa. Doa dari tuan-tuan Allah sahaja yang dapat membalasnya dan sesungguhnya percayalah kebenaran akan pasti tertegak. Ketabahan dan kesabaran harus diteruskan, terutamanya bila terbayang wajah Mursyidul Am PAS, YAB Menteri Besar Negeri Kelantan, Al-Fadhil Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pagi tadi – hadir bersama, menolak fitnah. Moga Allah SWT berikan kita kekuatan.