Ikuti Blog ini

Dewan Himpunan Penyokong PAS akan dilancarkan secara rasmi

YB Dr Mujahid bersama Muhammad K.Y. Tiang (kiri) dan
Sdr Mohd Saad Ismail

IPOH :
Dewan Himpunan Penyokong PAS akan dilancar dan dirasmikan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang pada 23 Mei nanti di Klang, Selangor.

Demikian dinyatakan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar dan juga selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat pada sidang media beliau di Pejabat Perhubungan PAS Perak, Ipoh petang tadi. Bersama-sama dengan beliau ialah beberapa orang pimpinan daripada Lajnah Perpaduan Nasional Perak serta pemimpin Kelab Penyokong PAS Perak.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ini yang merupakan satu penaikan taraf daripada Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan sedikit masa lalu. Keahlian buat masa kini sekitar 30,000 orang penyokong PAS daripada kaum Cina dan India akan diserapkan secara automatik ke dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS yang kini berperanan sebagai salah satu sayap kepada parti PAS.

Satu kertas garis panduan bagi ahli-ahli DHPP ini telah disediakan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuklah perlembagaan parti PAS itu sendiri.

Peranan dewan ini sepertimana juga dewan-dewan yang lain di dalam PAS akan mempunyai beberapa jawatan penting bagi menggerakkan aktiviti dewan dan ahli-ahlinya.

Beberapa keistimewaan kini bakal diperolehi oleh ahli-ahli DHPP termasuklah dapat bersama-sama hadir di dalam mesyuarat kawasan mahupun muktamar. Cuma masih ada sedikit kekangan sebagai ahli DHPP iaitu salah satunya ialah tidak dapat mengundi di dalam mana-mana pemilihan kuputusan mahupun jawatan di dalam PAS.

Sidang media yang pertama bagi mengumumkan pelancaran DHPP ini telah dipilih untuk diadakan di negeri Perak kerana sokongan yang diterima daripada pimpinan PAS Perak serta ahli-ahli Kelab Penyokong Pas amat menggalakkan.

YB Dr Mujahid begitu optimistik bahawa keahlian di dalam DHPP akan bertambah berlipat kali ganda di dalam masa yang terdekat kerana kini pimpinan di dalam DHPP ini dapat bergerak lebih aktif dan secara terbuka bagi menyampaikan misi DHPP kepada kaum Cina dan India yang kini lebih bersikap positif di dalam menyatakan sokongan mereka kepada parti PAS.

Apabila ditanya mengenai sama ada akan meletakkan calon di dalam pilihanraya akan datang daripada kalangan pimpinan atau ahli-ahli DHPP, YB Dr Mujahid berkata itu tidak menjadi halangan kerana ianya telah terbukti pada PRU-12 yang lalu apabila seorang ahli Kelab Penyokong PAS iaitu Cik Kumutha A/P Raman yang bertanding di Dun Tiram dengan menggunakan lambang PKR atas tiket PAS. Pada masa akan datang juga, pimpinan DHPP akan mencadangkan mana-mana ahli mereka sebagai calon PAS tetapi perlu mendapat persetujuan daripada pimpinan PAS Pusat terlebih dahulu.

Selepas daripada ini, beliau akan menjelajah ke setiap negeri bagi mengadakan taklimat dan mesyuarat bersama-sama pemimpin DHPP untuk menjayakan lagi misi ini.

Mohd Saad Ismail bersama S. Surianarayanan (Ketua
DHPP Perak)

Pimpinan daripada Bagan Serai

Mohd Saad sedang menerangkan mengenai pertambahan
jumlah ahli DHPP Perak yang kian meningkat

YB Dr Mujahid Yusuf Rawa bersama buku
garis panduan DHPP

Kerjasama erat memastikan kejayaan DHPP

Sdr Muhammad K.Y. Tiang sedang memberikan maklumat
tambahan kepada para wartawan
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .