Ikuti Blog ini

Saya rela di Penjara

Sarjan N.Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa bersubahat mencuri enjin pesawat pejuang milik TUDM, hari ini memilih kembali ke penjara Sungai Buloh selepas gagal mendapat perintah perlindungan daripada mahkamah.

Hakim Mahkamah Sesyen Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkannya apabila Tharmendran menyatakan pilihannya untuk masuk semula ke penjara.

Ayahnya, N. Nagarajah, memohon jaminan RM50,000 yang dikenakan terhadap Tharmendran pada 8 Julai lepas ditarik balik.


Dalam penghakimannya, Hayatul Akmal berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam memberikan arahan bagi membolehkan tertuduh mendapatkan sebarang bentuk perlindungan.

"Mengikut Akta Melarikan Orang Dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947 yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dalam hujahan adalah merujuk kepada saksi sedangkan dalam kes ini, Tharmendran adalah seorang tertuduh dan bukannya saksi maka mahkamah berpendapat bahawa ia adalah tidak terpakai.

"Mahkamah sebaliknya bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa tertuduh melalui peguamnya boleh memfailkan injunksi untuk mendapatkan perlindungan sementara daripada mahkamah," katanya. Tharmendran, 41, telah memohon untuk mendapatkan perlindungan sementara dengan mendakwa dirinya terasa terancam.

Peguamnya, N.Surendran, memberitahu mahkamah bahawa Tharmendran yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pagi tadi mendakwa beberapa pegawai dari bahagian perisikan TUDM telah datang ke rumah ibu bapanya di Seremban untuk mengambilnya secara paksa.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir berkata, TUDM bukan satu badan samseng sebaliknya sebuah badan kerajaan yang berlandaskan undang-undang.

Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa laporan polis oleh tertuduh hanyalah satu dakwaan semata-mata dan merupakan satu permulaan kepada penyiasatan yang akan dilakukan polis.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi, ahli perniagaan K.Rajendran Prasad, 38, didakwa menghapuskan kedua-dua enjin itu di Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Beliau juga mengaku tidak bersalah. - BERNAMA
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .