Ikuti Blog ini

Air: Rakyat rayu sokongan Agong




KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kerajaan negeri Selangor hari ini berjaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Selangor dari syarikat konsesi yang telah tertangguh lebih dua tahun lalu.

Penyerahan dibuat Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa anggota exco kerajaan negeri kepada Pegawai Akhbar Istana Negara, Khairi Abdul Rahman yang menerimanya bagi pihak Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang ini.

Memorandum tersebut antara lain memohon Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan agar hak air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh kerajaan negeri Selangor.

Kerajaan negeri juga mahu Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik untuk mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Memorandum itu juga turut ditandatangani 150,000 rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mahu hak pengurusan air dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

Terdahulu berucap kepada 15, 000 peserta himpunan di Masjid Negara, Khalid menyatakan himpunan hari ini adalah suara rakyat negeri yang membantah kenaikan harga air oleh Syabas.

Rakyat Selangor, tegasnya menentang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan kepura-puraan pihak berkenaan dalam isu air.

Kerajaan negeri jelasnya mengambil pendirian menentang kaenaikan tarif air oleh Syabas kerana menyedari kos sara hidup rakyat yang meningkat berbanding pendapatan yang diperolehi mereka.

Ianya juga bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor prihatin dan bertanggungjawab terhadap kesusahan rakyat.

“Dengan ini kami rakyat dan kerajaan negeri Selangor berkumpul merakfak sembah kepada Duli Tuanku untuk menyampaikan rasa hati kami terhadap isu penswastaan semula air di Selangor,” ujarnya ketika berucap di perkarangan Masjid Negara, sebentar tadi.

Lebih 150,000 tanda tangan rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjaya dikumpul dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kerajaan negeri juga katanya mahu Tuanku menyokong semangat Akta Industri Air 2006 yang menyatakan hak air perlu diserahkan kepada kerajaan negeri.

Perjanjian konsesi 2004 antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Syabas juga katanya perlu dilihat semula ekoran Syabas didakwa tidak mempedulikan kesusahan rakyat.

Beliau juga mendakwa pengurusan air Selangor wajar diserahkan kepada kerajaan negeri bagi menghapuskan kronisme.

"Persepsi rakyat, kerajaan dilihat lebih mengutamakan syarikat swasta akibat amalan kronisma demi kepentingan pihak tertentu.

"Dalam masa sama rakyat disusahkan," katanya.

Dalam pada itu, Khalid juga kesal dengan pihak polis yang tidak menunaikan janji untuk membenarkan perhimpunan secara aman diadakan sehingga berlaku tangkapan melebihi 50 orang.

“Saya berharap dan mengesa pihak polis melepaskan mereka tanpa syarat,” katanya dalam satu kenyataan petang ini. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .