Stigma buruk yang melekat kepada UMNO susah hendak dibuang
Kalau saya duduk termenung memikirkan nasib UMNO pada masa akan datang, seperti juga ramai yang lain saya tidak dapat berfikir apa cara yang perlu dilakukan oleh UMNO untuk kembali menjadi parti yang dihormati dan disanjung bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh bangsa-bangsa lain seperti yang pernah dialaminya dahulu.
Maklum sajalah UMNO selama ini adalah tunjang kepada politik tanah air. Semasa hebatnya UMNO, rakyat berfikir tanpa UMNO kita akan rebah rempah dan tidak tahu apa akan terjadi kepada negara. Semasa itu UMNO! UMNO! UMNO! Tidak ada yang lain melainkan UMNO.
Tetapi itu sudah menjadi bahan bacaan sejarah kepada kita. Sebagai seorang ahli sejak awal tujuh puluhan, saya terasa dan nampak jelas perubahan yang berlaku di dalam UMNO. Kita akui semuanya itu tetap berubah mengikut waktu dan zamannya tetapi perubahan budaya dan etika di dalam UMNO itu hanyalah menjurus kepada kejatuhannya dan bukannya ke arah membina perjuangan yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO.
Kelemahan UMNO ialah untuk menguruskan kejayaannya. Itu nyata. Masalahnya bermula apabila UMNO diwariskan kepada pemimpin yang tidak berjiwa UMNO. Mereka hanya berteriak kuat tentang UMNO tetapi UMNO dipergunakan oleh pemimpin yang menerima warisan itu untuk kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata.
Ada pemimpin yang yang suatu ketika dahulu tidak mampu mengisi minyak kereta yang kecil sekarang sudah menjadi pemimpin besar. Itu pun tidak mengapa. Ramai dalam sejarah dunia pemimpin yang datangnya dari keluarga yang miskin tetapi berjaya menjadi pemimpin yang memperjuangkan rakyat jelata dengan baik. Tetapi yang tidak dapat dimaafkan ialah mereka memerah segala apa yang ada untuk memperkayakan diri tanpa had dan lebih-lebih lagi tanpa malu dan segan pula bercakap tentang perjuangan yang tinggi-tinggi yang mereka sendiri tidak mampu melakukannya.
UMNO yang membina segala institusi demokrasi, UMNO jugalah yang membinasakan institusi-institusi ini. Apabila pelacuran ke atas bidang Kehakiman negara pada 1988 dahulu, institusi kehakiman tidak kebah-kebah dengan imej yang tidak meyakinkan, bukan sahaja oleh rakyat negara ini tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa. UMNO yang memperkuatkan institusi Raja-Raja untuk memperkuatkan kedudukan orang Melayu dahulu, UMNO jugalah yang merobek dan merebahkan institusi ini sehingga institusi ini menjadi lemah dan longlai.
Banyak lagi contoh yang ada tetapi blog ini telah menulisnya berulang kali dan tidak payah lagilah diulang-ulang. Ianya menyedihkan dan menjemukan bukan sahaja kepada pembaca tetapi juga kepada diri saya sebagai penulisnya.
Tetapi warisan yang amat mengecewakan rakyat ialah budaya rasuah dan menggunakan kuasa dengan salah itu adalah dosa yang tidak dapat diampunkan oleh ramai rakyat pengundi. Mereka adalah di kalangan the ‘silent majority’ dan di antara mereka ini adalah ahli-ahl UMNO sendiri. Itulah sebabnya saya pernah menulis ahli-ahli UMNO keluar parti bukannya di hadapan kamera TV3 atau RTM tetapi bertukar parti semasa di dalam peti undi. Ini sudah terbukti kerana seramai lebih dari 1.5 juta ahli UMNO pernah memberikan undi kepada parti pembangkang.
Tidak guna UMNO mempunyai ahli yang ramai. Ibarat tubuh badan yang besar tetapi tubuh yang mengalami banyak penyakit yang ‘terminal’ hanya untuk menunggu akhir kalamnya sahaja. Apabila ada ahli yang sedar dan mengkritik, penyokong dan pengampu-pengampu tanpa tauliah akan menerpa mengutuk dan membidas kumpulan kecil yang sedar ini. Pendeknya tidak ada apa-apa ruang untuk UMNO memperbaiki dirinya.
Sebagai seorang yang sudah bersara dari semua kegiatan, saya mempunyai masa yang terluang untuk bertemu dengan manusia yang berfikir setiap hari. Sementara menunggu waktu menjemput cucu dari sekolah, selalu saya berjumpa dengan orang ramai dan berkesempatan untuk bercakap. Biasalah, di negara ini semua rakyat bercakap pasal politik. Dalam perbincangan yang saya adakan amat payah bagi saya untuk terjumpa individu yang tidak mengkritik UMNO dan komponennya.
Baru dua hari yang lepas saya dijemput oleh orang yang saya belum pernah berjumpa untuk minum kopi. Mereka bertanya di mana patut kita minum. Saya menjawab kalau ikut standard saya kita hanya patut berjumpa di kedai mamak yang hampir dengan rumah saya, kerana saya tidak berkemampuan untuk minum di restoren-restoren besar-besar. Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa dan nyata mereka adalah di antara yang mengikuti tulisan saya.
“Encik Aspan, why are you so possessive of UMNO? Do you really know that you are being detested by the party leaders?” Saya menjawab pendek sahaja “Bro, I don’t care. Let them hate me but I shall stand where I am”.
Tidak dapat saya hendak mengingati perkataan-perkataan yang timbul dari mulut mereka, tetapi kumpulan ini adalah kumpulan yang selama ini mengundi UMNO tetapi sudah tidak tahan lagi dengan keadaan, sikap dan nilai yang ada kepada pimpinan parti ini.
“I can’t forgive them bro. They are milking the country dry. They are loads of corruptible leaders. There is no way can we stand their shenanigans any longer” kata salah seorang dari mereka serius. “All leaders up there are suffering from corruption addiction. They can’t get out of it. Our country is deadly in trouble and there should be concerted efforts from us to change it.” sambungnya lagi.
Saya hanya menjawab, “I am nobody and with no consequence what so ever. Let them do whatever they wish. Dia orang fikir dia boleh lari daripada pembalasan. Mereka sangka mereka ada immuniti daripada tindakan undang-undang dan immunity daripada balasan Tuhan. Oleh kerana mereka hendak belajar dari pengalaman sendiri, biarkan!”
Perbualan itu panjang juga. Tetapi saya terpaksa meminta diri kerana hendak ke sekolah menjemput cucu. Tetapi sebelum saya bangun sempat salah seorang daripada mereka bertanya, “Bang, abang ingat ahli-ahli MKT tu boleh memperjuangkan Melayu dan rakyat ke bang?” Rakan saya yang bersama saya dari awal menjawab juga pendek, “Kalau mereka benar-benar hendak memperjuangkan Melayu dan rakyat, mereka tidak sepatutnya berada di sana. They are rouges and should not be trusted”
Perbualan seperti ini memang kita dengar di mana-mana. Persepsi buruk terhadap UMNO itu tidak dapat dihilangkan lagi. Masalahnya apabila pandangan buruk seperti ini sudah menjadi lumrah, apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin kita tidak diyakini lagi.
Blog ini acapkali memperkatakan tentang isu ini dan selalu dibidas oleh banyak pihak. Kecenderungan rakyat untuk bertindak bertentangan dengan kehendak pemimpin kita semakain jelas kerana mereka merasakan pimpinan sudah tidak layak diberikan keyakinan lagi. Rakyat ramai sedang cenderung untuk melihat kepimpinan turun dan menggantikan dengan kepimpinan yang lain.
Usaha Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin untuk menghalang orang Melayu dari mendekati DAP misalnya tidak diiraukan orang ramai lagi. Rakyat menganggapkan pemimpin-pemimpin itu sedang merasakan ketakutan mereka terhadap sokongan parti itu daripada berkembang. Rakyat tidak segan dan silu lagi untuk memberikan perhatian kepada DAP kerana mahu mengambil kesempatan untuk memberi pengajaran terhadap pimpinan yang mereka anggap sebagai perosak kepada negara kita. PAS juga sedang menerima sokongan dari ramai rakyat Islam yang berpendidikan yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.
Kepada yang serius cuba anda fikirkan cara dan kaedah untuk UMNO mendapatkan kembali keyakinan rakyat tanpa banyak persoalan. Saya tidak nampak cara yang lain selain dari keseluruhan pimpinan parti ini dibarisi oleh barisan yang baru secara total untuk melenyapkan imej dan stigma buruk yang dialami oleh UMNO sekarang ini. Kita wajar mengakui UMNO telah terabai sebegitu lama.
Ini sahaja tindakan yang boleh melenyapkan persepsi buruk rakyat terhadap UMNO jika benar-benar mahukan UMNO terus menerajui pimpinan negara. Kalau tidak mahu percaya tidak mengapa. Memang kita tidak mahu belajar dari kesilapan orang lain. kita lebih suka untuk belajar dari kesilapan kita sendiri.
Kata perbilangan, ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.
- Aspan Alias