SHAH ALAM - Polis mengesahkan tidak menerima sebarang laporan daripada
seorang mahasiswa, mendakwa dia telah diliwat oleh Ketua Pembangkang
Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagaimana dilaporkan oleh sebuah blog
semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri
Zinin berkata, setakat ini beliau tidak dimaklumkan berhubung dakwaan
tersebut.
"Sepanjang pengetahuan saya, tiada laporan yang diterima berkaitan dakwaan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Kira-kira 10 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan
penghakiman bertulis membebaskan Anwar daripada kes liwat, sebuah blog
yang pro-Umno mendakwa satu laporan polis telah dibuat kononnya beliau
meliwat seorang penuntut institut pengajian tinggi utara Semenanjung.
Sementara blog itu, www.papagomo.com membawa laporan tersebut, penyokong
dan pegawai-pegawai Anwar dari PKR melihat ia sebagai konspirasi
terbaru dan usaha terdesak pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk
terus menyerang Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Anwar telah dibebaskan daripada kes meliwat bekas pembantunya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan awal Januari lalu. Susulan penghakiman bertulis
itu, Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan dengan mengetengahkan
sembilan alasan pada minggu lalu.
Saiful membuat laporan polis dia diliwat akhir Jun 2008.
Blog itu menulis, dia mendapat maklumat ada satu laporan polis telah
dibuat petang semalam terhadap Anwar, yang juga Ketua Umum PR dan PKR.
"Gomo baru mendapat maklumat bahawa petang tadi (semalam) ada laporan
polis telah dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh seorang
mahasiswa dari utara yang menyatakan beliau telah diliwat oleh pemimpin
PKR pada malam sebelumnya (kelmarin)," kata pemblog itu.