Wakil kumpulan tersebut Said Zakaria, 57, yang juga merupakan ketua Kampung Gombak Utara, mendakwa insiden tersebut didalangi Umno dan menyalahkan parti tersebut kerana menyebabkan nama kampung tercemar.
“Apa yang saya lihat malam kejadian, separuh dari sekumpulan 200 orang Pemuda Umno membuat bising, membaling batu dan menyerang petugas serta penjaja pada malam insiden tersebut,” kata Said dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pagi tadi.
Menurut Said lagi, rata-rata yang membuat kecoh pada malam itu bukan penduduk kampung sebaliknya orang luar yang dibawa oleh ketua pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
“Malahan, mereka (pemuda Umno) yang hadir malam itu adalah orang luar yang dibawa oleh ketua pemuda Gombak (Megat) dengan tujuan menghalang ceramah ceramah daripada pimpinan Pakatan.
“Justeru kami menolak dakwaan bahawa kekacauan itu dibuat oleh orang kampung kerana menolak kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain,” tambah beliau.
Selain Said, dua lagi penduduk kampung Kamaruddin Mohamad, 70, dan Musa Zakaria, 61, juga senada dengan ketua kampung mereka itu dan menuduh Umno yang memulakan provokasi.
“Sudahlah bawa orang luar, lepas itu buat kacau hinggakan ada yang cedera dipukul dan ditikam,” kata Kamaruddin yang mengecam tindakan pemuda Umno pada malam itu.
Dalam insiden malam itu, seorang pemuda Md Akasyah Md Yunos, 37, telah ditikam pada bahunya dan telah membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah Gombak selepas kejadian malam itu.
Selain beliau, terdapat lagi beberapa orang mangsa yang cedera dipukul dan khemah penjaja rosak akibat balingan batu daripada kumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Antara mangsa pada malam tersebut ialah Md Haidir Samsuddin, 48, yang cedera di kepala akibat terkena batu yang dibaling oleh samseng tersebut.
“Saya ketika itu di tepi jalan sedang mengawal keadaan semasa samseng Umno cuba buat kecoh,” kata Haidir berdarah dikepalanya.
“Tiba-tiba batu besar daripada seberang jalan jatuh mengenai kepala saya.”
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali juga secara terbuka mengecam dan menuduh Megat mengetuai sekumpulan samseng menyerang ceramah di kampung Gombak Utara itu.
Pergaduhan bermula kira-kira jam 10 malam semasa ahli parlimen Gombak tersebut memulakan ucapannya yang menyaksikan batu dan kayu dibaling ke arah orang ramai di Dataran Sharuddin, Batu 8½.
“Saya sangat kesal dengan sikap biadap Umno ini, malahan ada juga yang cedera akibat sikap samseng ini,” kata Azmin ketika ditemui The Malaysian Insider selepas kekecohan diantara penyokong Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) pada malam kejadian.
Namun, Megat menafikan pemuda Umno terlibat menyerang ceramah di Gombak tersebut tetapi hanya berdemonstrasi aman di hadapan bilik gerakannya.
Menurut Megat, demonstrasi aman berlangsung di hadapan bilik gerakan Umno Gombak Batu 8½ itu kemudian bertukar ganas apabila sebahagian dari penyokong PR bertindak membaling objek seperti batu-bata, kuali dan tong air ke arah pemuda Umno.
“Kami hanya buat demonstrasi aman di depan bilik gerakan kami, tetapi mereka membaling tong air, kuali, batu-bata sehingga seorang pemuda Umno kena sembilan jahitan akibat terkena batu-bata,” kata Megat yang dihubungi .
Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama, sebelum ini di Lembah Pantai turut berlaku kejadian sama apabila ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu sehingga menyebabkan ada hadirin yang tercedera.
Bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin Anwar dan pemimpin PKR berceramah ke seluruh negara turut menjadi mangsa apabila beberapa kali disimbah dengan cat dan dibaling batu. -TMI