Ikuti Blog ini

Protes harga minyak: ketua AMK Terengganu ditahan polis

KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Muslimeen united) - Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Terengganu, Fariz Musa ditahan polis ketika mengetuai satu tunjuk perasaan secara aman anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga bahan api.

Beliau ditahan ketika selesai mengadakan sidang media pada jam 3.15 petang di tempat letak kereta selepas berucap di dua tempat berasingan iaitu di perkarangan Masjid Al-Muktafibillah Shah Ladang dan di Dataran Shah Bandar, dekat sini, semalam.

Ketika berucap, katanya tunjuk perasaan secara aman itu bagi menuntut agar kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) dan negeri mengambil langkah segera menurunkan harga bahan api tersebut.

Menurut Fariz, Malaysia merupakan sebuah negara pengeluar minyak yang terbesar di Asia Tenggara.

"Kami menuntut supaya kerajaan dapat membentang secara terperinci laporan kewangan tahunan Petronas dalam dan luar negara termasuk punca-punca keuntungan dan perbelanjaan kepada umum melalui Parlimen," tegasnya.

Selain itu, katanya AMK Terengganu mahukan agar kerajaan dapat meningkatkan purata pendapatan rakyat di negara ini sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan petrol serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, rakyat turut mendesak kerajaan BN Terengganu agar tidak menarik balik saman terhadap Petronas akibat keingkaran perjanjian yang dibuat ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu.

"Kita mahu setelah royalti petroleum dikembalikan, bantuan tunai kebajikan rakyat miskin sebanyak 80 peratus dinaikkan dan mesti dibuat pengagihan secara adil, saksama dan telus kepada mereka yang layak," ujarnya.

Selain itu, katanya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan seluruh ahli Kabinet Umno dan kerajaan Barisan Nasional perlu meletakkan jawatan masing-masing dengan segera.

Beliau ditahan di bawah seksyen 27(5) menganjurkan perhimpunan haram serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan dibebaskan pada jam 6.30 petang dengan jaminan polis.

Perhimpunan Protes itu disertai oleh lebih 100 orang yang sentiasa diasak dengan pelbagai 'ugutan' tangkapan oleh pihak polis agar orang ramai segera bersurai bagi menghalang demontrasi aman tersebut diteruskan._
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .