Ikuti Blog ini

Anwar ditahan polis secara kasar, direman 24 jam



ANWAR DITAHAN BAWAH SEKSYEN 377A, KES LIWAT: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat, kata peguamnya Sankara Nair.

Menurutnya sehingga 2.50 petang tadi, Anwar yang ditemani seorang lagi peguam, R.Sivarasa, sedang memberi keterangan kepada polis selepas tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 1.10 tengah hari tadi.

Kata Sivarasa, polis selepas ini akan memohon kepada mahkamah bagi perintah reman selama 24 jam atau tidak melebihi 14 hari terhadap Datuk Seri Anwar bagi membantu siasatan.

Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas.

Sankara berkata Anwar ditahan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis yang menaiki 15 kenderaan, kira-kira 50 meter dari rumah Anwar di Segambut, sebelum diiringi ke IPKKL.

Beliau yang turut berada bersama Anwar ketika itu mendakwa polis tidak mempunyai dokumen rasmi atau surat perintah ketika menahan Anwar.

Ketika ditahan, Anwar sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya sambil diiringi dua peguamnya itu, selepas selesai memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, berhubung laporannya mengenai pemalsuan fakta oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Kira-kira 20 anggota polis bertopeng menahan kenderaan yang membawa Anwar sebelum memaklumkan hendak bawa Anwar ke IPKKL untuk siasatan.

Bercakap kepada pemberita selepas memberikan keterangan di BPR, Anwar berkata beliau telah memberikan semua keterangan yang diperlukan dan bukti berhubung laporan itu kepada BPR.

"Saya berasa puas hati kerana pegawai-pegawai BPR telah mencatat semua dan mengesahkan, tetapi belum selesai kerana banyak keterangan lain yang dikehendaki. Tapi saya memohon maaf kerana saya telah menerima waran tangkap untuk segera hadir di IPK Kuala Lumpur dan saya tidak mahu lambat," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .