Ikuti Blog ini

‘Boneka’ Adalah Kerja Jahat UMNO - MB Perak


Kuala Nerus - Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS Perak menafikan menjadi ‘boneka’ kepada parti DAP dalam mengurus serta mentadbir negeri sejak empat bulan lalu.
Ia adalah kerja jahat yang dibuat oleh pemimpin UMNO Perak, bertujuan menggugat kestabilan kerajaan Pakatan Rakyat tersebut.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaludin menafikan dakwaan pemimpin UMNO Perak bahawa kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS menjadi ‘boneka’ DAP.

“Mereka (UMNO) seolah-olah, gambarkan kerajaan Pakatan Rakyat yang ada hari ini kerajaan yang ditekan dan dipergunakan untuk kepentingan DAP, ini tidak betul.

“Sebab segala-gala keputusan yang kami (kerajaan) buat adalah keputusan bersama yang berlandaskan keputusan syura atau pun secara kolektif,” tegasnya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Sempena Dua Dekad Penubuhan Madrasah Darul Taqwa, di Pekan Batu Enam, semalam.

Menurutnya, hebahan yang tidak berasas itu sengaja disebarkan oleh para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu.

Namun begitu, katanya Umno/BN sengaja memainkan sentimen ‘kemelayuan’ bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan baru Pakatan Rakyat di Perak.

“Ini adalah hebahan yang dibuat oleh UMNO sendiri. Sebab jika kita lihat rencana-rencana dan poster yang mereka sebarkan.

“Semuanya mereka itu memainkan sentimen-sentimen ‘Kemelayuan’ dan mereka hendakkan orang-orang Melayu percaya kerajaan yang ada pimpinan PAS ini adalah kerajaan yang tidak mementingkan bangsa Melayu.

“Kerajaan yang ada ini, kita terpaksa, kita akur dan kita patuh, kita menerima dan mengiktiraf segala-gala peraturan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 dan kita juga mengiktiraf Artikel 3 dalam Perlembagaan Pesekutuan. Untuk itu, apa sahaja keistimewaan bumiputera kita akan pelihara,” jelasnya.

Dato’ Seri Mohamad Nizar menegaskan sebarang tindakan yang hendak dibuat seperti dasar tanah, dasar air, lantik ahli-ahli exco dan ‘Datuk Bandar’ turut dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat.

“Ini menunjukkan, kita (PAS) tidak menjadi mana-mana ‘boneka’ kepada mana-mana parti. Ini adalah kebersamaan.

“Setiap parti itu menghormati kewujudan dan setiap parti itu menerima perbezaan masing-masing.

“Dan keputusan kami (Pakatan Rakyat) adalah berlandaskan sentimen-sentimen profesionalisme dan tidak berdasarkan kepada kaum dan tidak berdasarkan kepada mana-mana kepentingan parti,” ujarnya di hadapan 10,000 hadirin.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .