Ikuti Blog ini

Dituduh Buat Rusuhan Di Rusila - Enam Mengaku Tidak Bersalah



Kuala Terengganu – Enam orang yang dituduh oleh kerajaan melakukan rusuhan serta merosakkan harta awam dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah di hadapan Hakim Mohammad Khalid Abd. Karim.
Enam yang dituduh, Ibrahim Ali, 44, Ahmad Saharmi Mohd Nor, 30, Muhammad Sobri Mustafa, 22, Ismail Mohamad, 60, Faizul Azrin Che Mohamad, 29, dan Mohd Hinudin Din, 30, hadir kemahkamah.
Manakala, tiga lagi tertuduh Annuar Mustakim Abdul Malik, 22, Luqman Abd. Rahman, 23, dan Muhammad Imaluddin Alis, 22, tidak dapat hadir akibat sikap tidak profesional pihak pendakwa raya yang hanya mengemukakan notis lewat petang kelmarin, kurang dari 24 jam.
Pertuduhan pertama keatas mereka adalah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, menghalang laluan bas bernombor BJU 2555 serta ‘melakukan rusuhan’ di persimpangan Jalan Taman Medan Jaya, Rusila, Marang kira-kira jam 10.30 pagi pada 8 Mac 2008 lalu.
Pertuduhan kedua adalah keatas Ibrahim Ali, Faizul Azrin dan Mohd Hinudin yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta kerana kesalahan mengugut penumpang bas berkenaan.
Ibrahim Ali, Ahmad Saharmi dan Muhammad Sobri juga didakwa di bawah dua pertuduhan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Akta yang sama kerana melakukan perbuatan khianat kepada para penumpang dua buah bas bernombor WDW 7094 dan BJU 2555 di tempat yang sama, kira-kira jam 9.30 dan 10.30 pagi tersebut.
Dalam perbicaraan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah memohon mahkamah agar tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin sementara menunggu tarikh perbicaraan kerana menurut katanya ia merupakan kesalahan yang berat.
Beliau juga turut meminta mahkamah menolak hujah rayuan pihak pembelaan untuk menyatakan (recognise) kes berkenaan mempunyai faktor politik.
“Ini bukan peringkat untuk pihak pembela meminta mahkamah berbuat demikian kerana peringkat ini adalah permohonan rayuan ikat jamin,” katanya kepada mahkamah.
Walau bagaimanapun peguam bela, Mazlan Mohd Zain dalam hujah rayuannya berkata keenam-enam anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis termasuk apabila diminta menghadiri perbicaraan tersebut dengan kadar segera.
Namun begitu, tanpa menimbangkan notis singkat pihak pendakwa, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga tertuduh yang tidak hadir Annuar Mustakim, Luqman dan Muhammad Imaluddin bagi memastikan mereka menghadiri sebutan semula kes berkenaan pada 22 Julai 2008 ini.
Difahamkan Luqman sedang dirawat di wad hospital Tengku Ampuan Rahimah kerana disyakki mengidap demam Denggi, manakala Anuar Mustakim dan Muhammad Imaluddin bekerja di negeri Johor.
Mahkamah yang sepatutnya bersidang sebelah pagi telah ditunda sehingga kepada jam 3.00 petang.
Kelewatan tersebut menyebabkan dua dari enam orang tertuduh tidak sempat membayar ikat jamin akibat kesuntukan masa dan mereka kini bermalam di lokap Balai Polis Bukit Payung.
Peguambela yang mewakili tertuduh terbabit adalah terdiri dari Encik Mazlan Mohd Zain, Kamaruzaman Wahab dan Faris Irwan Mustafa.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .