Bernama melaporkan Mesyuarat Agung Khas Umno bahagian Muar di sini semalam sebulat suara meluluskan usul mendesak Majlis Tertinggi Umno memansuhkan kuota pencalonan jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Anggota Majlis Tertinggi (MT).
Bahagian itu mencadangkan agar setiap calon hanya perlu mendapat 10 pencalonan daripada bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.
Mengikut fasal 9.5 Perlembagaan Umno, calon Presiden perlu mendapat 30 peratus pencalonan daripada jumlah bahagian Umno yang sah untuk melayakkan diri bertanding, 20 peratus bagi jawatan Timbalan Presiden, 10 peratus untuk mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden dan lima peratus bagi jawatan Anggota Majlis Tertinggi.
Seramai 308 perwakilan dari 131 cawangan Umno bahagian yang menghadiri persidangan di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Meriam di sini mengangkat tangan tanda setuju sebaik sahaja Timbalan Pengerusi Tetap, Muntaha Kailan memanggil perwakilan untuk membuat keputusan mengenai usul itu.
Perwakilan Umno bahagian berkenaan juga meluluskan usul agar pencalonan bagi jawatan ketua Umno bahagian turut dipinda dengan mengehadkan dua pencalonan sahaja untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.
Terdahulu, ketika membentangkan usul berkenaan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Muar, Zakaria Mahadi berkata pindaan itu penting untuk membolehkan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dilaksanakan secara demokratik.
Ia juga bagi membolehkan setiap anggota yang berkebolehan dan mempunyai ciri kepimpinan mendapat peluang bertanding jawatan, sekali gus menghidupkan demokrasi dalam parti di semua peringkat.
Dengan ini jelas bahawa arus akar umbi Umno, melihat pucuk pimpinan parti itu kini tidak relevan lagi bagi memimpin parti dan menerajui pemerintahan negara kerana jika masih demikian sudah pasti fasal 9.5 perlembagaan parti itu tidak akan dipinda bahkan kuota berkenaan tidak berbangkit untuk dipinda.
Selama ini pun tidak berbangkit soal pindaan berkenaan kerana ahli Umno yakin dengan kepimpinan yang sedia ada.
Bagaimanapun dengan prestasi buruk pilihan raya umum ke 12, kepimpinan sedia ada khususnya Presiden parti itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak berupaya menjadikan Umno sebagai parti orang Melayu yang disegani lawan dan kawan.
Bahkan tidak mampu meraih sokongan majoriti rakyat berbilang kaum terhadap Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya.
Dengan kekalahan teruk BN sehingga hilangnya majoriti dua pertiga penguasaan di Dewan Rakyat, ahli Umno akar umbi sudah membuat penilaian serius terhadap pucuk pimpinan parti tersebut dengan mencadangkan suatu perubahan berlaku agar satu jalan bagi membolehkan pucuk pimpinan sedia ada disingkirkan dibuka dengan seluas-luasnya.
Jalan itu ialah memansuhkan kuota pertandingan jawatan tertinggi parti itu kepada had yang dicadangkan itu bagi membolehkan angin demokrasi ditiupkan semula ke dalam parti berkenaan.
Keputusan pertemuan kepimpinan tertinggi sebelum ini, sudah tidak diendahkan lagi oleh ahli Umno Muar supaya memberi sokongan penuh kepada pucuk kepimpinan parti itu agar jawatan tertinggi khususnya Presiden dan Timbalan Presiden, tidak dipertandingkan.
Suara protes ahli sebelum ini sudah begitu lantang kedengaran dari seluruh pelusuk negara dan dipercayai ia akan menjadi-jadi sehingga tiba Perhimpunan Agung Umno Disember ini.
Prestasi kedua-dua pucuk kepimpinan parti itu, Abdulah dan Najib mendapat penilaian buruk ahli parti itu, apabila kedua-duanya tidak berupaya meletakkan negara dan parti itu dalam kedudukan selesa.
Kehilangan banyak negeri yang kini dikuasai pakatan rakyat termasuk Wilayah Persekutuan cukup merungsingkan ahli parti itu. Sudah pasti mereka meletakkan kesilapan besar kepada pucuk kepimpinan parti bagaimana Abdullah dan Najib tidak berkemampuan mengenalpasti kehendak rakyat dan cepat mengatasi segala kepincangan berlaku dalam pentadbiran negara khususnya isu berkaitan dengan skendal berkait dengan kepimpinan negara, konspirasi politik,rasuah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, sebelum tibanya pilihan raya umum ke 12, 8 Mac lalu.
Sogokan pilihan raya tidak lagi mengikat pengundi untuk terus mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu di kebanyakan negeri di pantai Barat dan Utara Semenanjung apa lagi pengundi-pengundi di bandar di kebanyakan negeri.
Parti itu hanya mencurahkan wang untuk menempah kuburnya sendiri. Yang pentingnya ialah dasar parti dan sikap kepimpinannya perlu berubah.
Hasrat rakyat untuk melihat bebanan kehidupan mereka akibat kepincangan politik dan kejatuhan ekonomi berpunca dari salah urus pucuk pimpinan negara dikurangkan atau dihapuskan terus, perlu diberi perhatian serius oleh Umno.
Sepatutnya bukan sekarang tetapi sejak Umno itu wujud, 50 tahun lalu. Rakyat sekarang majoritinya bukan jenis mereka yang mudah dicucuk hidung seperti dulu, ketika mereka berada di ambang merdeka atau selepas beberapa tahun mengecapi kemerdekaan negara dari penjajah.
Sekarang mereka sudah pandai mengkaji sejarah politik negara dan peka merasai kepincangan politik dan ekonomi kerana rakyat yang buta huruf zaman pasca kemerdekaan sudah lama pergi.
Tinggal hari ini, rakyat yang celik sejarah, bermaklumat, sensitif terhadap kelemahan yang berlaku dan suka memprotes untuk melihat perubahan segera berlaku bagi membebaskan diri mereka dari belenggu kehancuran politik dan budaya dan ekonomi negara.
Mereka percaya Malaysia bukan negara miskin, hasil bumi masih banyak khususnya hasil petroleum dan gas mencecah puluhan bilion ringgit setahun.
Mereka mempertikaikan kemana perginya wang begitu banyak sedangkan kehidupan mereka masih dicengkam kemelut ekonomi dan politik berpanjangan. Kenapa wang negara yang begitu banyak tidak dimanfaatkan untuk mengatasi semua masalah itu?
Apa lagi mereka menerima maklumat kepimpinan negara terbabit dengan skendal rasuah dan skendal membocorkan wang khazanah negara itu untuk kepentingan kroni dan keluarga sendiri.
Ia menjadi cetusan kemarahan mereka dan akibatnya Umno dan pemimpinnya menerima desakan supaya hentikan kegiatan buruk itu atau mereka sendiri perlu disingkirkan dari menerajui negara.