Ikuti Blog ini

CATATAN HUJUNG RAMADHAN.......Ust.Nik Abduh



Salam Ramadhan,


1) Mujurlah ( AlhamduliLlah ) Allah menjadikan kemuncak Ramadhan di hujungnya. Jikalah pencarian Lailatul Qadr itu di sepuluh hari yang pertama, tiadalah lagi suara - suara syahdu munajat sang hamba di malam - malam akhir ini.
Tiadalah antara kita yang mampu menyempurnakan 30 hari Ramadhan dengan sebaiknya. Hujung mestilah memuncak di dalam hayat seorang muslim.


“Tuhanku, jadikanlah sebaik - baik umurku adalah dihujungnya. Dan jadikanlah sebaik - baik amalku adalah dipenamatnya. Dan jadikanlah sebaik - baik hariku adalah hariku bertemuMu.” - doa al Rasul.


2) Betapalah hebatnya ( SubhanaLlah ) Tuhan yang mengurniakan Lailatul Qadr untuk umat Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Sungguh Allah Tuhan yang maha pemurah, menyayangi dan mengasihi. Sejahteralah sang hamba yang berlumba - lumba merebuti Lailtul Qadr. Berbahagialah dia dengan doa dan istighfar para malaikat yang merayakan kadatangan malam segala malam ini.
Bagaimana dibayangkan amalan 60 tahun mampu ditagan buat membeli syurga tuhan, sedang 60 tahun itu juga dilitupi dosa dan noda? Memuncaklah satu malam yang isinya diganda menjadi seribu bulan ( 83 tahun 4 bulan ) di sisi sang hamba yang faqir dan hina. Celakalah besarlah mereka yang lalai dan leka daripada menghidupkan malam - malam kemuncak di penghujung ini.

“Maka barang siapa yang diharamkan daripada mendapat Lailatul Qadr, sesungguhnya dia telah diharamkan daripada mendapat kebaikan seluruhnya.” - hadis al Rasul.


3) Alangkah agungnya ( Allahu akbar ) Tuhan yang bertitah dengan al QuranNya yang menyuluhi kehidupan, lalu terpancarlah sinar hidayat buat sang hamba yang terkapai - kapai dalam badai kehidupan duniawi yang kelam dan gulita. Kerana kitabMu Ramadhan menjadi penuh berkat. Kerana kitabMu umat menjadi penuh berkat dan kerana kitabMu kehidupan menjadi tidak sia - sia.
Berbahagialah sang hamba yang membina dan mencahayai hatinya dengan al Quran.


“Dan hendaklah kamu bertakbir ( di malam dan pagi Syawwal ) mengagungkan Allah di atas hidayatNya kepada kamu dan agar kamu menjadi hambaNya yang bersyukur.” - al Quran.


4) Ramadhan seluruhnya adalah perihal al Quran. Tiadalah erti Ramadhan buat mereka yang hidup tanpa petunjuk al Quran walaupun dia berpuasa sepenuhnya. Telah hilanglah hikmat Ramadhan daripada dirinya.


“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Quran, menjadi petunjuk buat manusia dan dipenuhi keterangan daripada petunjuk dan pemisah. Maka barangsiapa yang menyaksikan ( anak bulan ) Ramadhan, maka hendaklah dia berpuasa.” - al Quran


5) Selamat memburu Lailatul Qadr. Semoga kita dikasihi al Quran.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .