Ipoh : Semarak Ramadhan di Dataran MBI cukup meriah dan menceriakan dengan kehadiran hampir mencecah 1000 orang.
Ustaz Kamal Shaari, penceramah jemputan pada malam yang kelima itu telah berjaya mencuit hati para hadirin melalui penyampaiannya yang bersahaja menjadikan suasana malam tersebut sangat menghiburkan di mana para hadirin nampak segar dan segala penat berpuasa disiang hari langsung tidak terasa.
Beliau telah mengupas tentang kalimah ‘Rahmah’ yang mengandungi pengertian yang sangat besar kerana kalimah tersebut membawa kasih sayang Allah.
“Allah tunjukkan buktinya kepada kita betapa Allah sayangkan kita dengan menurunkan al-Quran dan juga Rasul sebagai pembimbing jalan ummat manusia,” kata Ustaz Kamal lagi.
“Dengan adanya al-Quran dan al-Mutaharriq , hidup manusia terpimpin ke arah jalan yang benar dan dapat menghindari jalan yang dimurkai Allah,” jelasnya lagi.
Ada yang berpendapat bahawa Islam ini menyusahkan sahaja kerana terlalu banyak `pantang-larangnya’ tidak boleh buat itu dan ini.
Menurut Ustaz Kamal, sebenarnya yang menyusahkan itu bukan Islam, tetapi orang Islam yang tidak faham tentang agamanya sendiri. Bagi mereka yang belajar dan memahami Islam tentunya tiada masalah untuk mengamalkan Islam.
“Puasa umpamanya, tidak menyusahkan kita. Kalau kita sakit , kita tidak perlu berpuasa,” katanya.
Seterusnya beliau mencuit hati para hadhirin apabila membandingkan dengan kondisi di hospital di mana para pesakit dipaksa untuk berpuasa!
Beliau turut menceritakan pengalamannya dengan seorang anak muda yang mengaku tidak berpuasa kepadanya lalu beliau mengajukan soalan. Alkisahnya seperti berikut :
"Kamu sempat bersahurkah tadi?” Tanya Ustaz.
"Sempat, Ustaz; tapi saya tersilap pasang niat,” jawab anak muda tersebut.
Ustaz Kamal berasa pelik mendengar alasan si anak muda tersebut.Mana mungkin dia tersalah niat pulak bila bangun untuk bersahur malam buta begitu, bisik hatinya.
"Mana mungkin ada orang berniat sahaja aku nak bernikah sewaktu bersahur itu?” Cuit Ustaz menyebabkan para hadhirin tergelak macam nak pecah perut.
Lalu Ustaz Kamal bertanya lagi kepadanya, ” Bagaimana adik berniat?”
"Sahaja aku berpuasa Ramadhan ini hari, kerana Allahu Ta’ala,” jawap pemuda tersebut.
"Betul lah tu, dimana silapnya? ” tanya Ust Kamal dengan rasa kehairanan.
"Sepatutnya saya kena sebut 'hari ini’ dan bukan 'ini hari’ ; Ustaz,” anak muda itu menjelaskan tentang kesilapan tatabahasa yang digunanya itu.
Macam mana orang ramai dapat menahan dari ketawa? Berdekah-dekah mereka ketawa mendengar celoteh Ustaz Kamal.
”Tuan-tuan semua seronoklah ketawa malam ini, tapi saya ketika itu terpaksa menahan dari rasa nak ketawa sebab hendak jaga hati dan perasaan anak muda tersebut...”