BUTTERWORTH, 22 Sept -Tindakan polis menangkap dan mendesak agar ceramah memperingati Badar Al-Qubra' anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang di Dewan Putra Merdeka, Butterworth dihentikan semalam dianggap satu kebiadapan yang tidak boleh dimaafkan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hafiz Noordin dalam kenyataannya menyifatkan tindakan itu juga mengambarkan polis masih mengamalkan sikap 'kuno' dan tidak profesional berhadapan dengan situasi berkenaan.
"Dewan Pemuda PAS Negeri kecam tindakan polis menangkap Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan, Sanusi Mohd Junid dan mengarahkan ceramah dihentikan serta-merta dengan alasan tiada permit dikeluarkan sebaliknya menyuruh ia diadakan di dalam dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), " ujarnya kesal.
Polis sepatutnya, memberitahu hal itu sejak permohonan permit dibuat bukan mengkhabarkan pada hari Jumaat baru lalu supaya dewan digunakan untuk tujuan itu.
Sedangkan katanya, Dewan Pemuda sudah memaklumkan dalam permohonan permit bersama pelan lakaran penggunaan padang dengan bayaran sewaan RM1,000.
"Kami terpaksa jalankan juga program semalam kerana ikut permit yang diminta padang itu menjadi hak kami kerana menyewa daripada MPSP. Lagipun ia tidak langsung mengganggu jalan raya tambahan Pasukan Unit Amal bersedia menjaga keselamatan sekiranya faktor itu dibimbangi, " tegasnya.
Tambahnya, sikap itu jelas mengambarkan, polis masih melaksanakan tugas untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam keadaan Umno tengah nazak dan sekiranya ada anggota atasan yang bertanggungjawab semalam beliau harus tanggalkan uniform dan masuk Umno bergiat dalam arena politik tanahair secara sihat.
"Arahan polis menyuruh penggunaan dewan MPSP semalam tidak masuk akal kerana mana boleh sekelip mata ditukar begitu sahaja sebab ia melibatkan borang permohonan lain lebih-lebih lagi hari Sabtu dan Ahad cuti umum,"katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah pula menyifatkan, kejadian semalam merupakan peristiwa pertama setelah bertukaran porfolio Menteri Pertahanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada timbalanya, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Semasa kejadian semalam, pasukan keselamatan seolah ingin menimbulkan suasana tegang dengan bertindak menghalang Ustaz Hafiz daripada teruskan ceramahnya yang baru bermula lima minit.
"Keadaan boleh tegang lagi sekiranya Unit Amal tidak mengawal keadaan apabila menghalang kemasukan secara beramai-ramai pasukan polis termasuk Polis Bantuan yang berbaris di hadapan pentas. Mereka juga menghalau semua hadirin yang duduk di atas padang, " kata beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh.
Bukan itu sahaja malahan menangkap seorang ahli yang cuba mengawal P.A System daripada di rampas oleh polis juga satu tindakan yang tidak beradab.
Menjawab pertanyaan adakah Dewan Pemuda PAS Negeri lemah menghadapi senario itu beliau menambah, tidak sama sekali bahkan berjanji akan mengadakan ceramah yang lebih besar di tapak penubuhan PAS sejak 1951 itu.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang sampai pada pukul 9.45 malam cuma dibenarkan berucap setengah jam sahaja setelah polis berbincang dengan urusetia program.
Sementara itu, Sanusi yang ditahan di Balai Polis Butterworth akhirnya di bebaskan pada jam 2.30 pagi dengan jaminan polis.