Takhta undang-undang adalah kedaulatan. Hakim ibarat singa yang mengawal dan mempertahankan undang-undang itu. Keadilan pula adalah mahkota undang-undang. Tanpa takhta, singa dan mahkota, undang-undang tidak bermakna.
Dalam kitab fiqh klasik mazhab Syafie, al-Iqna’, yang digunapakai sebagai sukatan untuk peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), ada satu bab yang membicarakan secara khusus berkaitan kehakiman dan kesaksian. Kitab al-Iqna’ yang ditulis oleh al-Khatib asy-Syarbini adalah syarah kepada Matan Abi Syuja’, kitab fiqh asas untuk mereka yang mengikuti pengajian Islam terutamanya untuk peringkat menengah.
Kitab ini di samping yang lain seperti Fathul Mu’in antara turath yang wajib dipelajari oleh mereka yang belajar Islam.
Bab tersebut menjadikan ayat al-Quran yang memerintahkan supaya menjatuhkan hukuman dengan adil sebagai moto. Sementara qadhi, istilah yang digunapakai untuk hakim, kelayakannya ditekankan melalui hadis yang menjelaskan bahawa hakim itu tiga, satu di dalam syurga dan dua di dalam neraka. Hakim yang masuk syurga ialah hakim yang mengetahui kebenaran dan berhukum dengannya. Sementara dua hakim yang ke neraka ialah hakim yang berhukum dengan kejahilan dan hakim yang mengetahui kebenaran tetapi zalim.
Keadilan mengikut kitab fiqh ini disimbolkan melalui sikap atau etika hakim ketika mengendalikan perbicaraan. Istilah yang digunakan ialah at-taswiyah – kesamarataan. Ada tujuh situasi hakim mesti bersikap samarata ketika berhadapan dengan pendakwa dan tertuduh.
1. Ketika menyediakan tempat duduk.
2. Ketika mendengar keterangan.
3. Ketika memandang.
4. Ketika mereka masuk menemuinya.
5. Ketika bangun untuk menghormati.
6. Ketika menjawab salam.
7. Ketika senyum dan bermanis muka.
Bagi menjamin keadilan juga hakim tidak dibenarkan sama sekali menerima hadiah daripada salah satu pihak atau menghadiri jamuan / kenduri yang mereka anjurkan.
Kitab ini ditulis ketika sistem mahkamahnya adalah tunggal dan undang-undang Islam berdaulat. Para hakim pula terdiri daripada para ulama’ yang bertaqwa. Namun, para hakim tetap diikat dengan kod etika yang ketat, sesuai dengan realiti dan situasi untuk menjamin keadilan kepada semua. Orang yang berada di hadapan hakim adalah sama sahaja, samada khalifah atau khadam, raja atau rakyat. Hakim bukan menjunjung pangkat tetapi menjunjung keadilan.
Oleh kerana ketika itu hakim belum diinstitusikan,penekanannya adalah kepada peribadi hakim. Di tangannya terletak samada keadilan tertegak atau tidak. Pemerintah / Khalifah yang melantik hakim sendiri tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas peribadi hakim. Sebagaimana seseorang itu boleh menerima atau menolak perlantikan sebagai hakim, dia juga berhak untuk menghukum orang yang melantiknya.
Hakim menjadi tempat terakhir untuk rakyat / orang ramai mengadu sekiranya dia merasakan dirinya dizalimi terutamanya ketika dizalimi pemerintah. Hakim tidak akur kepada telunjuk pemerintah tetapi akur kepada kedaulatan undang-undang. Pemerintah / Khalifah walau pun dia yang melantik hakim, hakim tidak berada di bawah telunjuknya.
Kini institusi kehakiman berkembang selaras dengan tuntutan masa. Namun, perkembangan itu tidak sepatutnya memangsakan hakim. Singa di bawah takhta tidak wajar dijerat. Biar seribu tahun lagi, biar dunia sudah tidak bersempadan, biar hujan naik ke langit, hakim tetap hakim. Keadilan tetap keadilan. Hakim dan keadilan tidak dapat dipisahkan ibarat aur dengan tebing, ibarat solah dengan zakat.
Buat Ketua Hakim Negara yang baru, ingat, seperti yang kamu katakan, gaji kamu dibayar dengan duit daripada kocek kami. Kami menyara hidup kamu seperti kami menyara anak-anak kami. Kami tidak mengharapkan apa-apa kecuali satu, keadilan. Kami halalkan sekiranya kamu adil. Kalau kamu zalim, kami tuntut kamu di akhirat kelak.
Ingat, kamu adalah tempat terakhir untuk kami mengadu kalau kami dizalimi oleh pemerintah kami. Kamu tidak perlu menyebelahi kami sebagaimana kamu tidak perlu menyebelahi pemerintah. Kamu mesti menyebelahi keadilan.
Ingat, mahkamah kamu seperti kubur kamu. Kalau kamu adil di situ, kamu selamat selepasnya. Kalau kamu zalim di situ, kamu tanggunglah balasannya. Keadilan bukan sesuatu yang bersifat subjektif, nisbi, tetapi keadilan adalah sesuatu yang tetap dan pasti. Sesuatu yang thabit dan tidak berubah. Keadilan adalah kekal. Semua boleh musnah, keadilan tidak boleh. Allah, zat yang kekal, salah satu namanya ialah al-adlu (adil). Apabila hak dipulangkan kepada yang berhak, adil. Sebaliknya, zalim.
Hakim cuma ada tiga. Jadilah hakim yang satu dan jangan termasuk dalam dua hakim lagi.