"Kenyataan saya esok," katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim sebentar tadi. Keputusan beliau itu sekaligus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat pada Jun depan. Dengan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang. Kamilia sebelum ini telah berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno. Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno pada minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.
Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan. Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku Ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan. Sebilangan Wanita bahagian juga mula bersuara menolak peralihan kuasa tersebut dan menyifatkan ia bukan kehendak akar umbi. Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73. Sementara bagi jawatan Naib Ketua pula, Shahrizat menerima 113 pencalonan dan Kamilia 54 pencalonan. Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984 kecuali untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman. Bagaimanapun, beliau memenangi semula jawatan itu daripada Dr Siti Zaharah pada pemilihan 2000.
[Nampaknya keputusan yang dibuat oleh Shahrizat itu bakal menjadi satu tamparan hebat buat Rafidah Aziz. Beliau yang masih mengintai jawatan Ketua Wanita UMNO dan hanya akan melepaskan jawatan menerusi pelan peralihan itu bakal ditentang oleh kroninya sendiri. Inilah politik namanya, kawan menjadi lawan. Apakah Rafidah akan menangis lagi mengeluarkan air mata seperti ketika Mahathir umumkan perletakkan jawatannya dulu. Namun, kini terbukti Rafidah harus terima hakikat bahawa zamannya sudah berakhir. Beliau sepatutnya mengundur diri dan memberi kemenangan percuma kepada Shahrizat. Bayangkan jika beliau masih menang, apakah jawatan itu akan dikosongkan? Atau beliau akan terus bertakhta dan kembali ke kabinet zaman Najib Razak nanti?. Inilah agaknya yang ditunggu, kerana beliau tahu Mahathir sudah pasti akan menariknya ke dalam jika Najib berkuasa nanti].