Ikuti Blog ini

ADUN BN Perak Sertai Pakatan Rakyat(PKR)

GEMPAR DAN MENGEJUTKAN!!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini. Ia diumumkan pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya pada pukul 3.10pm. Beliau merupakan ADUN pertama dari BN menyertai Pakatan Rakyat sejak 8 Mac lalu.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.


"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.


Bagaimanapun beliau belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan menulis surat dalam waktu terdekat. Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.


Perak kini diterajui Pakatan Rakyat dengan menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Barisan Nasional (BN) pula 28 kerusi.

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan jaket sebagai simbolik penyertaan ADUN Bota, Nasarudin Hashim (kiri) ke dalam parti itu petang ini. Turut memerhatikan ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Berikutan itu, Pakatan Rakyat kini menguasai 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Barisan Nasional (BN), yang tewas kepada Pakatan dalam pilihanraya umum Mac lalu, kini tinggal 27 kerusi negeri.






Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .