Semua bangun mengangkat tangan berikrar bersama-sama mempertahankan Kerajaan Perak pakatan Rakyat.
Kita semua bersedih di atas perkembangan di negeri Perak. Walau bagaimanapun, ia menunjukkan bahawa Umno dan SPR masih belum bertaubat. Selepas pilihan raya umum yang lalu kita menyangka Umno akan melakukan perubahan terhadap imejnya dan mungkin terhadap parti itu secara menyeluruh. Tetapi yang disaksikan oleh rakyat ketika usaha-usaha menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Umno tetap Umno seperti Umno sebelum pilihan raya umum ke-12.
Di dalam kesedihan dengan perkembangan di Perak, kita boleh menarik nafas lega kerana Umno masih enggan berubah. Hanya Gerakan, MCA dan mungkin PPP yang bersungguh-sungguh cuba mengenal pasti kenapa BN ditolak pada pilihan raya ke-12 itu. Tetapi Umno masih mengekalkan imej dan modus operandi yang membuatkan BN ditolak rakyat pada 8 Mac lepas.
Oleh itu, saya yakin selepas rampasan kuasa di Perak, kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Umno dan BN akan memuncak. Buktinya hanya pemimpin Umno yang banyak membuat ulasan tentang perkembangan di Perak tetapi tidak pemimpin BN yang lain. Seolah-olah mereka tidak mahu terlibat kerana imej yang ditonjolkan kepada rakyat adalah terlalu buruk lagi menjijikkan.