
Pilihanraya kecil itu dipanggil berikutan kematian penyandangnya, naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting pada 24 Februari lalu akibat serangan angin ahmar.

Beliau pertama kali memenangi kerusi Batang Ai pada 1991 menerusi tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), yang ketika itu parti pembangkang dalam pertandingan satu lawan satu menentang Mikai Mandau daripada Barisan Nasional (BN).
Dalam pilihan raya negeri yang diadakan pada 1996 dan 2001, beliau mengekalkan kerusi itu menerusi tiket PBDS, yang telah menjadi parti komponen BN, dan kemudiannya menyertai PRS ekoran pembatalan pendaftaran PBDS akibat krisis kepimpinan pada 2004.

Bawin, yang diuar-uarkan bakal menjadi calon PKR bagi kerusi itu berkata pada kali ini, pertarungan bagi kerusi majoriti pengundi Iban itu pasti panas kerana kedua-dua parti mempunyai sokongan kewangan dan logistik, tidak seperti pada pilihan raya lepas.
“Saya akan serahkan kepada parti untuk memutuskan siapa calon PKR bagi kerusi Batang Ai dan ia merupakan satu penghormatan kepada saya jika parti menamakan saya sebagai calon,” katanya