Ikuti Blog ini

Siapa Kumpulan Politik Tertentu Itu?

Baca titah Sultan Perak di sini. Titah itu ditujukan kepada kumpulan politik tertentu. Kumpulan politik yang mencetuskan huru-hara, mencemar institusi raja, merasa tidak pernah silap dan diri kebal dan mengenepikan undang-undang.


Kumpulan politik tertentu itu, kumpulan politik mana?


Oleh kerana titah ini disiarkan oleh akhbar milik Umno, sayugia orang Umno berasa titah itu ditujukan kepada orang Pas, PKR dan DAP.


Kalau titah yang sama juga kalau disiarkan oleh Harakah, orang Pas akan rasa titah itu ditujukan kepada Umno. Demikian juga kalau yang menyiarkannya adalah Suara Keadilan atau Roket.


Apa makna perasaan itu?


Maknanya, raja adalah raja kepada semua. Orang Umno tidak boleh berasa raja yang ada adalah raja mereka sahaja. Bukan raja orang Pas, DAP dan PKR. Jangan ada orang Umno yang berasa menentang Umno sama seperti menentang raja. Mereka jangan berasa menentang dan melawan Pas sama seperti membela raja.


Orang Pas juga tidak patut berasa bahawa menentang Umno sama seperti menentang raja atau menderhaka kepada raja. Melawan Umno dan menderhaka kepada raja adalah berbeza. Sebagaimana menyokong Umno bukan bererti membela raja, maka menyokong Pas, PKR atau DAP bukan bermakna menderhaka kepada raja.


Orang Umno jangan berasa dialah pembela raja, sementara orang di luar Umno semuanya penderhaka.


Sebagaimana orang Umno berhak berasa dia pembela raja, orang Pas, PKR dan DAP juga berhak berasa begitu. Kalau orang Umno boleh kata orang Pas, PKR dan DAP penderhaka, orang Pas, PKR dan DAP juga boleh kata Umno penderhaka.


Kenapa?


Kerana semua orang boleh menjadi penderhaka raja samada dia orang Umno, Pas, PKR, DAP atau tidak berparti, bahkan tidak beragama sekali pun. NGO juga boleh menjadi penderhaka raja.


Justeru, siapa penderhaka?


Penderhaka raja ada dimana-mana. Di dalam Umno, Pas, PKR dan DAP. Bahkan ada juga di dalam NGO. Ada orang tidak berparti juga penderhaka.


Kalau dikata lelaki yang tidur di atas jalan menghalang kenderaan raja adalah penderhaka, bagaimana pula dengan lelaki yang memegang sepanduk ‘natang’? Kalau dikata Nizar ‘mempersoal’ tindakan sultan adalah penderhaka, bagaimana pula dengan Shahidan yang buat perkara yang sama?


Kalau orang Umno boleh berasa 'kumpulan politik tertentu' itu ialah Pas, orang Pas juga boleh berasa 'kumpulan politik tertentu' itu ialah Umno.


Lantas, bagaimana?





Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .