NIBONG TEBAL - Berpunca daripada satu "kesilapan teknikal", Mahkamah Majistert Jawi hari ini membatalkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya yang gagal menghadiri perbicaraan di mahkamah itu semalam. Majistret Nur Ashikin Mokhtar, mengeluarkan perintah itu selepas Yusnita Yusoff, peguam yang mewakili kesemua tertuduh, memohon supaya waran itu tidak dikeluarkan kerana berlaku kesilapan teknikal mengenai tarikh perbicaraan.
Yusnita memberitahu mahkamah bahawa kesilapan itu kerana pihak pembelaan menjangkakan kes itu tidak akan berjalan memandangkan Majistret Mohd Izham Ali yang mengendalikannya sedang berkursus Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus tidak membantah permohonan peguam bela itu. Kesemua tertuduh hadir di mahkamah hari ini. Nur Ashikin, Majistret dari Mahkamah Butterworth yang menggantikan Mohd Izham dalam prosiding itu, kemudian menetapkan 28 hingga 30 September sebagai tarikh baru perbicaraan.
Semalam, majistret itu memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya kerana mereka tidak menghadiri hari pertama perbicaraan yang ditetapkan selama tiga hari itu. Lima peguam mereka diketuai Asmuni Awi juga tidak kelihatan. Mohamad, 53, serta Zamarul Aini Abdul Malek, 37, Zainal Azrun Zainal Abidin, 35, Abdul Rahim Mat Ariff, 58, Md Lazim Osman, 50, Mohd Biyamin Ishak, 44, Fauzi Saharat, 44, Abdul Razak Ramli, 42, Mohd Subri Mohd Said, 42, dan Mohamad Salleh, 47, didakwa menghalang Superintendan Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur, terhadap pemimpin PAS itu. Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar lebuh raya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.
Mereka didakwa menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan tersebut.
Mahkamah sudah menjadikan undang-undang sebagai alat permainan untuk menakut-nakutkan rakyat. Jika ada kuasa maka undang-undang akan dijual beli dengan harga-harga tertentu. Mungkinkah dek kerena mereka terpengaruh dan terikut-ikut dengan adengan filem Tamil dan Hindustan sebenarnya].