Ikuti Blog ini
Peneroka Manek Urai jadi tumpuan PAS ,Sabtu, Julai 11, 2009 at 11.7.09,
Petang semalam, kerajaan PAS Kelantan menghimpunkan kira-kira 300 peneroka awal di kawasan DUN itu dalam majlis khas bagi "mengenang jasa" kumpulan tersebut yang membuka kawasan tersebut tanpa sebarang kemudahan lain.
Bagaimanapun, program menjelang pilihanraya kecil di DUN Manek Urai pada 14 Julai ini, dilihat sebagai strategi baru kempen bagi memenangkan calon mereka Mohd Fauzi Abdullah.
Selasa depan, Mohd Fauzi - seorang peraih ikan yang lebih dikenali sebagai Abe Uji - akan berdepan dengan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, yang juga bekas pengurus bahagian pemantauan Kesedar.
Pendekatan ini dilihat sebagai "serangan balas" terhadap janji BN untuk memajukan kawasan pertanian di kawasan DUN itu dengan meningkatkan hasil pertanian penduduk setempat berbekalkan pengalaman calon mereka.
Ditubuhkan oleh kerajaan pusat, Kesedar turut memainkan peranan membangunkan tanah di sekitar kawasan Selatan Kelantan, termasuklah Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.
Dalam majlis tersebut, ADUN Perupuk, Datuk Omar Mohamad secara terang meminta penduduk Manek Urai mengundi PAS dalam pilihanraya kecil ini.
Diperkenal 1961
"Tanah sekarang ini siapa buka? Sekolah yang ada sekarang ini, duduk atas apa? Kalau dia (BN) minta undi dacing (BN), ambo (saya) berhak minta pada demo (kamu) undi PAS.
"Ambo beri kelulusan (teroka tanah). Ambo tidak mari kempen pun tak apa, hubungan kita macam anak dengan bapak. Demo tak mari pun tak apa. Demo hendak bagi apa, semua kita sudah berikan," katanya.
Bekas ahli lembaga pemilih Lembaga Kemajuan Tanah Kelantan (LKTN) - agensi kerajaan negeri yang memperkenalkan projek penerokaan itu - berkata, ketika projek itu diperkenalkan pada tahun 1961, kawasan DUN itu hanyalah hutan belantara semata.
Abe Uji dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub turut hadir dan berucap dalam majlis di sebuah sekolah agama rakyat di Sungai Sok, Manek Urai.
Ahmad, ketika ditemui pemberita selepas itu, menafikan program itu bertujuan meraih undi, sebaliknya bagi mengembalikan nolstalgia "peneroka ulung" yang membuka kawasan tersebut.
"Tidak, kita mahu kembalikan nolstalgia bagaimana mereka membangunkan tanah ini," katanya yang juga ketua dewan ulama PAS Kelantan.
Projek penerokaan tanah LKTN melibatkan enam tempat di Manek Urai - antaranya Sungai Sok, Temalir dan Perial - melibatkan keluasan 5,491 hektar.
Tidak seperti rancangan pembangunan tanah lain seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), LKTN hanya memberikan tanah tanpa sebarang kemudahan sokongan. Bagaimanapun, peneroka tidak dikenakan sebarang bayaran.
Setiap peneroka diberikan lebih 8 hektar tanah - 6 hektar tanah ladang, 2 hektar tanah dusun dan suku hektar tanah tapak rumah. Keluasan ini lebih dikenali sebagai "enam-dua-suku" di kalangan penduduk setempat.