Ikuti Blog ini

Ustaz Hassan Shukri: Tekad Pertingkat Bidang Pendidikan Islam

Mantan Senator, Hassan Shukri, 70, nyata tidak menduga sumbangannya dalam pendidikan Islam membolehkan beliau dinobatkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah 1431 Hijriah peringkat negeri Selangor

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, sumbangannnya dalam bidang pendidikan Islam bermula dari Perak hinggalah ke Selangor.

Katanya, sikap kepeduliannya kepada masyarakat membuatkan beliau mudah didekati rakyat setempat sekaligus berpeluang menjalankan usaha dakwah ke seluruh Malaysia setelah menyertai PAS pada awal 1970-an.

"Ini adalah kerana peranan saya pada waktu itu banyak menumpukan kepada nak meningkatkan pendidikan dan juga sistem pelajaran di Sekolah-sekolah Rendah dan juga Menengah Agama Rakyat di seluruh negeri Perak. Di negeri Selangor saya juga banyak memberi perhatian terhadap perkembangan-perkembangan yang ada kaitan dengan masyarakat," Hassan berkata demikian kepada Tv Selangor yang ditemui di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves semalam.

Katanya, anugerah itu menjadi motivasi kepadanya untuk terus memperjuangkan dakwah Islam selain memperkukuhkan PAS sebagai sebuah parti bertunjangkan Islam sebagaimana yang ditunjukkan dalam peristiwa hijrah Rasulullah.

"Saya tidaklah pernah bahawa sesungguhnya kerja-kerja saya itu akan dinilai, akan dianugerah dan sebagainya. Tetapi nampaknya saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan juga Majlis Agama Islam Negeri Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor yang telah memilih saya untuk dianugerahkan sebagai Tokoh Ma'al Hijrah negeri Selangor bagi tahun 1431 Hijriah," katanya.

Beliau yang memulakan kerjaya guru di Madrasah Yahyawiyyah, Perak pada 1958 ini menambah, kepercayaan yang diberikan tidak akan dipersiakan malah bersedia menyumbangkan pemikiran kepada usaha memperkukuhkan akidah dan keyakinan umat Islam di negara ini.

"Insya Allah saya akan memberikan sumbangan setakat mana yang boleh untuk meningkatkan lagi pemikiran ataupun pandangan umat Islam dan juga memperkukuhkan akidah dan keyakinan umat Islam di negara kita ini supaya mereka sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berusaha untuk melaksanakan syariat Islam itu dalam semua aspek kehidupan," katanya.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .