Oleh HASMI HASHIM
Dewan penuh sesak. Hujan masih renyai. Di luar, pada mulanya beberapa kereta peronda polis kelihatan menunggu…
Memetik beberapa lapor, sekitar 1500 orang memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Selangor malam itu. Saya sendiri belum pernah jadi panel dalam acara ilmu dan perbincangan yang sebegini besar khalayaknya.
Sebagai orang yang juga berkecimpung dalam arena politik, saya cukup maklum bahawa hanya ceramah politik yang akan mendapat sambutan sedemikian rupa.
Majlis ilmu dan forum, bilangannya paling ramai pun hanya ratus-ratusan sahaja. Kali ini, ia mulai menandingi ceramah politik itu sendiri! Wah, cukup membahagiakan.
Senggolan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein beberapa jam sebelum itu, dengan tanggapan perbincangan terbuka akan memburukkan keadaan, ternyata meleset.
Kata menteri itu, “kalau itulah yang awak mahu lihat, berbalah di dalam debat dan menciptakan lebih banyak meledaknya emosi? Kalau itulah yang mereka mahu, ia sangat tidak bertanggungjawab.” ~ (Malaysiainsider, 12 Januari 2009).
Ini tak lain, adalah sejenis ugutan bukan? Kita boleh berbeza pendapat, tetapi menutup ruang perbincangan terbuka adalah pandangan orang yang bukan sahaja dangkal, tetapi lemah.
Selain saya, antara ahli panel lain termasuklah yang paling dinantikan ialah Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad; Dr Azwira A Aziz, pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM; pendakwah bebas, Shah Kirit Kakulal Govindji; Dr. Khalif Muammar, Felo Institut Islam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM; dan Dr Mohd Farid Mohd Shahran, pengerusi Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM).
Bukan hanya Melayu yang hadir, tetapi juga kaum lain termasuk India dan Cina. Maknanya, bukan hanya Muslim, tetapi sudah pasti ada di kalangan penganut agama lain.
Kenyataannya, acara dimulai dengan tenang, berakhir juga dengan tenang. Kematangan moderator forum, saudara Faridzul Nasaruddin yang berulang kali menegaskan bahawa acara itu sama sekali bukan bertujuan menimbulkan ketegangan antara penganut agama manapun.
Apa yang menarik, program ini dianjurkan dengan ikatan kerjasama ketiga-tiga organisasi anak muda, sama ada Free Public Forum (FPF), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Kuala Lumpur Selangor Chinese Assambly Hall Youth (KLSCAH Youth). Tahniah buat mereka! Lebih-lebih lagi ketiga-tiga organisasi ini adalah organisasi anak muda belaka.
Sejurus itu, nampaknya mulai terus dianjurkan perbincangan di atas isu sama di beberapa tempat di seluruh negara, oleh pelbagai pertubuhan NGO dan organisasi. Hishamuddin sama sekali salah dalam melihat kematangan antara penganut agama mengurus dan membincangkan isu agama.
Perspektif Hishamuddin selain bersifat hingusan, ia tidak lain adalah perspektif kekuasaan-politik yang angkuh. Yang merasakan dirinya sahaja yang berhak dan pandai mengurus persoalan umat sementara kononnya rakyat tidak tahu mengurus dirinya sendiri. Ceh!
Ini, anak-anak muda ini, yang walaupun diberikan tekanan, mereka tetap berjaya menganjurkan program. Ini, anak-anak muda ini, tak memakai dana kerajaan dan duit rakyat jutaan ringgit untuk menyelesaikan masalah yang sebegini genting. Ini, anak-anak muda ini adalah baris depan yang akan menentukan nasib bangsa akan datang ~ dan Hishamuddin, juga Ketua Pemuda Umno yang ada sekarang, kena tahu itu.
Anak-anak muda inilah sebentar lagi akan menentang kezaliman dan kecuaian kamu.
Lebih penting, anak-anak muda ini, saya yakin, bukan ahli partinya Hishamuddin! Barangkali kerana itulah Hishamuddin jadi takut dan gementar. Tak satupun program dapat dianjurkan Pemuda Umno setiap umat Islam dilanda musibah.
Empat tahun lalu, sewaktu isu “kartun hina Nabi”, yang dilakukan oleh Pemuda Umno hanya membakar dada orang Melayu untuk menuai keuntungan politik. Sekarang, apabila timbul isu kalimah Allah, juga yang terus disimbah minyak dan api di dada orang Melayu. Penyelesaiannya, tak ada!
Isu, kemelut dan musibah yang melanda umat Islam hanya jadi bahan politik untuk mereka meraih populariti. Rumusan dan pemikiran tidak mendasar keputusan dan retorika politik mereka. Kita membaca pandangan para pemimpin itu, hampir semuanya sampah. Tak ada isi, dan biasa-biasa sahaja.
Bedebah! Dengan kuasa dan kekayaan wang ringgit yang dimiliki Umno (dan kemewahan setiap para pemimpinnya), mereka bukan hanya gagal menganjur majlis ilmu dan diskusi, malah menakut-nakutkan pula anak-anak muda dan mahasiswa yang berniat baik untuk mengurus masalah bangsa. Apa lagi kalau bukan istilah “bedebah” adalah panggilan terbaik Umno dan pemimpin pemudanya? Ya, bedebah!
Kalimah Allah untuk umat Islam semakin jelas boleh dikongsi dengan cara baik dengan penganut kristian; sama ada dari segi hukum mahupun sosio-budaya iaitu sejarah. Itu prinsip dan seruan Tuhan sendiri di dalam sekian banyak firman-Nya di dalam al-Quran.
Untuk Pemimpin Pemuda Umno, termasuk Hishamuddin, istilah yang sesuai bagi mereka adalah bedebah! Ya, bedebah!