Ikuti Blog ini

Hulu Selangor: Medan rakyat tolak politik bankrap Umno/BN

HULU SELANGOR, 16 April: Rakyat diajak menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai medan rakyat menolak politik bankrap wakil rakyat Bebas bersekongkol dengan Umno/BN.

Bercakap di Kuala Kubu Baru malam tadi, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan beberapa wakil rakyat tersebut seakan mengkhianati amanah rakyat.

"Rakyat tidak akan lompat walaupun beberapa ahli parlimen dan seorang Adun di Bakar Arang lompat parti dan khianat amanah rakyat," ujar beliau di Dewan JKKK Asam Kumbang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, walaupun Umno BN berkali-kali menolak desakan Pakatan Rakyat supaya diadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan wakil rakyat Bebas, kematian bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad seolah-olah ketentuan Allah untuk menggagalkan perancangan Umno.

"Saya rasa pilihan raya kali ini merupakan suatu ketentuan Tuhan sebab Umno berkali-kali menolak desakan kita supaya diadakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan-kawasan beberapa wakil rakyat lompat parti itu.

"Politik bankrap ini akhirnya terpaksa menghadapi rakyat di Hulu Selangor," jelasnya.

Sehubungan itu, menurut Mahfuz, pencalonan Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor mampu melengkapkan aksi rakyat menolak politik bankrap Umno.

Ujar Mahfuz, Zaid sanggup melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana protes kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menzalimi rakyat.

"Zaid Ibrahim mempunyai moral yang tinggi, kedudukannya yang sangat tinggi (iaitu) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)," beliau menambah.

"Apabila beliau tidak setuju dengan kezaliman ISA, beliau sanggup letak jawatan (menteri)."

Bercakap di depan khalayak yang kebanyakan berbangsa Cina, Mahfuz turut menyindir Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"MEB, Umno nak buat pembangunan, perlu tunggu wakil rakyat mati, kalau tak mati, tak ada pembangunan."

Bagi Mahfuz, rakyat lebih berminat dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Seperti di Selangor, melaksanakan Merakyatkan Ekonomi Selangor, rakyat boleh merasa kekayaan negeri Selangor seperti 20 meter padu air percuma.

"50 tahun rakyat Selangor di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, tidak pernah dapat apa yang Pakatan Rakyat beri sekarang, tak perlu tunggu wakil rakyat mati," jelas beliau.

Turut menyertai Mahfuz, Datuk Seri Chua Jooi Meng (Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR), Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang) dan para ketua kampung di Kuala Kubu Baru. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .