
KUALA LUMPUR, 27 April: Barisan Nasional (BN) kini sangat bimbang menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu ekoran penolakan besar pengundi Cina terhadap mereka seperti ditunjukkan dalam PRK Hulu Selangor pada 25 April lalu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, BN akan menghadapi laluan sukar apabila majoriti masyarakat Sibu adalah dari kaum itu.
"Jika sentimen di Semenanjung sama dengan Sarawak, BN akan sukar di Sibu," katanya yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS Pusat dalam sidang medianya di sini.
Pada PRK Hulu Selangor Ahad lalu, lebih 70 peratus pengundi Cina  memberikan undi kepada PKR.
Zaid telah berjaya meningkatkan enam  kali ganda undinya di DUN Kuala Kubu, iaitu kawasan pengundi Cina,   berbanding PRU 2008 lalu.
Di Sibu, lebih 60 peratus pengundinya  adalah Cina. Dengan sentimen penolakan ini, ianya merisaukan pemimpin  BN.
Pengerusi Perkasa, sayap ekstrem Umno, Datuk Ibrahim Ali  menyifatkan pengundi Cina sebagai 'tidak sedar diri' apabila menolak BN.
Beliau  mahu masyarakat Cina dihukum dengan menyekat sebarang peruntukan  pembangunan ke kawasan mereka.
"Cuma yang saya tidak pasti di  Sibu, calon Cina BN akan lawan calon Cina Pakatan Rakyat. Jadi saya rasa  ia satu pertembungan sengit," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat dijangka akan mengumumkan calonnya daripada DAP bagi PRK itu pada satu majlis makan malam, hari ini.
Anggota Parlimen Sibu, Sarawak yang juga Timbalan Menteri  Pengangkutan,  Datuk Robert Lau meninggal dunia 9 April lalu  akibat  barah.
Lau, 68, dari parti SUPP, salah satu  komponen BN,  memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi  menewaskan dua  calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu iaitu calon  DAP Wong Ho  Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.
Kematiannya   membawa kepada  satu lagi pilihan raya kecil iaitu  yang kesebelas  selepas pilihan raya  umum 2008. - Hrkh


