Ikuti Blog ini

PAS tuntut menteri, mufti bantah judi

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bantahannya terhadap pengeluaran lesen judi sukan kepada Berjaya Group Sdn Bhd.

"Semalam beliau (Jamil Khir) dengan lantangnya mengeluarkan kenyataan bahawa peguam syarie di mahkamah syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.

"Namun dalam hal judi ini beliau mengambil pendekatan pasif. Di manakah suara lantangnya itu?" soal pembantu ketua pemudanya Herman Samsudeen.

Dalam kenyataan hari ini, Herman juga mendesak semua mufti di negara tampil membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen bola sepak itu dan jangan "menutup mata dan menyembunyikan ilmu mereka".

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap para mufti dan golongan yang faham agama bangkit menentang kezaliman akhlak ini. Judi adalah haram dan ianya bukan hanya haram untuk mereka yang beragama Islam (semata-mata), tetapi kepada semua manusia," katanya.

"Walau
pun mereka bekerja dengan kerajaan Malaysia yang mana perdana menteri dan menteri kewangannya serta kabinetnya bersatu menghalalkan judi, tetapi para mufti dan mereka yang faham agama harus bangkit menentang dan tidak mentaati keputusan mungkar itu."

Herman menambah, ekonomi negara ini pasti akan bertambah berkali ganda "jika sumber yang berkat digunakan" bagi membangunkannya.

"Menghapuskan judi juga sekali gus akan memisahkan pendapatan dan gaji para menteri dan mufti yang dibayar kerajaan daripada sumber-sumber yang haram," katanya. - M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .