Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Keempat-empat mereka juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM.
Pada sidang media di sini hari ini, Hilman mempersoalkan penahanan itu kerana menurutnya adalah perkara biasa bagi pelajar jurusan sains politik untuk turun ke lapangan pilihan raya bagi melihat sendiri proses pilihan raya berlangsung.
"Adalah perkara biasa untuk mahasiswa sains politik turun ke tempat berlangsungnya pilihan raya untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Kalau pelajar jurusan perubatan kena turun ke hospital, pelajar engineering kena turun ke tapak projek. Pelajar sains politik kenalah turun ke tempat pilihan raya," katanya.
Pada 22 April lepas, mereka ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah. Turut ditahan bersama mereka ialah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama iaiatu sebuah kereta dan sebuah van.
Dalam penahanan itu, polis merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga cakera padat (cd) kempen.
Pada 23 April pula, sekitar jam sepuluh malam, Hilman bersamasama empat orang aktivis lain ditahan sekali lagi oleh polis dalam sekatan jalan raya. Dalam penahanan ini polis hanya menjumpai sekeping vieo cakera padat (VCD) ceramah parti politik.
Ditanya kenapa bahan kempen ada bersama Hilman, beliau berkata semua bahan itu bukan miliknya sebaliknya kepunyaan pemilik kenderaan yang ditumpangi.
"Sebenarnya semua bahan kempen itu bukan milik saya tapi milik tuan kereta yang saya tumpang. Jadi tiada kaitan dengan saya pun," katanya.
Beliau juga memberitahu, pensyarah beliau sendiri mengetahui bahawa beliau ke Hulu Selangor.
"Secara tidak formal, pensyarah saya tahu saya ada di sana (Hulu Selangor) dan saya pun tahu pensyarah saya ada di sana. Kami berjumpa dan minum di kedai kopi, tak ada masalah apa pun. Takkanlah setiap kali saya nak ke mana-mana saya kena tulis surat kepada pensyarah saya," katanya lagi.
SMM juga katanya mengecam penahanan itu kerana dilihat seolah-olah mahu memperbudak mahasiswa dan menyifatkannya sebagai tindakan untuk menyekat dan menakutkan seluruh pergerakan mahasiswa.
Mereka turut kesal dan hampa dengan peraturan universiti yang meyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengaplikasikan pembelajaran yang berlaku dalam bilik kuliah.
Sehubungan itu, mereka akan menghantar memorandum bnathan terhadap penahanan itu ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam masa terdekat ini.
Hadir sama pada sidang media berkenaan, Setiuasah Agung SMM, Mohd Riedzuan Othman, Setiausahanya Shazni Munir, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) Mohd Idris Mohd Yussuff, dan Presiden Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma). -Hrkh