KUALA LUMPUR : Baru minggu lepas, Ustaz Mohd  Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama  muda yang menyertai Umno.
Kini, Mohd  Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di  dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat  undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.
Malam tadi  beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini  beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka  untuk memberikan ceramah.
Semuanya kerana gelaran ulama muda  yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.
"Saya  sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya  terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang  berkunjung ke pejabat Harakahdaily.
Mohd Hosni bersama tiga  rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara  mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh  40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Keempat-empat  mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya  Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.
"Jadi,  pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd  Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan  Teknologi Selangor yang terletak di Klang.
Mereka diberitahu  pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan  bangunan Umno.
Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan  rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang  jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.
Di  sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh  dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.
"Jadi saya senang  hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua  mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.
Lalu mereka  berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru  gambar yang memenuhi majlis itu.
Selepas itu, Datuk Seri Shahidan  menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah  borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada  dalam majlis itu.
Najib tanpa bercakap apa-apa terus  meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan  sidang akhbar selepas itu.
Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni  dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan  terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.
Namun,  kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah  Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.
Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.
Bersalam dengan PM
Sementara Mohd Husni menolak beliau datang ke PWTC untuk bersalam  dengan Perdana Menteri.
“Tentang hendak bersalam dengan Najib,  adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang  yang didakwa,” jelas Mohd Husni.
Ini susulan respons Umno  menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis  40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput  oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.
Beliau  juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk  bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya,  satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau  untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan  merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak  jemputan itu.
“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak  mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan  sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan  Umno.
Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di  dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI,  dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana  Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.
Dalam pada  itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi  lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis  diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno  oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.
Katanya,  seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir  untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan  mereka yang dikaitkan dengan keganasan.
“Terbukti Umno  menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana  jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka  gunakan berbagai cara,” ujarnya.
Menjawab hasrat mereka untuk  membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh  Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung  tidak menyebut nama orang berkenaan. -Hrkh


