Ikuti Blog ini

Akhbar KEADILAN Terbitan Parti Keadilan Rakyat Kini Dalam Pasaran

SHAH ALAM 11 Julai - Seperti yang dijanjikan, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah menerbitkan akhbar tidak berkala berjudul 'KEADILAN' setelah permit penerbitan lidah rasminya, Suara Keadilan tidak diperbaharui Kementerian Dalam Negeri apabila ia tamat sah laku 30 Jun lalu.

Akhbar 24 mukasurat yang diterbitksn di bawah Angkatan Muda KEADILAN itu mula diedarkan ke seluruh negara mulai semalam dan dijangka memenuhi hasrat parti untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai aktiviti serta ulasan isu terkini yang mempunyai kepentingan parti, rakyat dan negara.

'KEADILAN' masih berkonsepkan Suara Keadilan dari segi liputan berita dan halatuju artikel yang berteraskan kepada prinsip perjuangan parti.

Pihak KDN sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya KEADILAN berkeras untuk menerbitkan lidah rasmi yang telah digantung itu.

Tindakan KDN menggantung Suara Keadilan mempunyai hubungkait dengan artikel 'Felda Bankrap' yang disiarkan dalam keluaran 237 akhbar tersebut bertarikh 22-29 Jun lalu.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengugut dengan berkata akhbar itu mungkin menghadapi risiko ditutup terus jika berdegil menerbitkannya tanpa permit.

Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya ketika dihubungi Suara Keadilan berkata tindakan menggantung permit Suara Keadilan menunjukkan kerajaan Umno-BN berasa terancam dan terus mengambil langkah drastik.

"Umno-BN memilih cara bacul sedangkan sepatutnya mereka menjawab isu yang dibangkitkan dalam Suara Keadilan.

"Ini menunjukkan walaupun pun negara mempunyai Perdana Menteri baru dengan konsep 1Malaysianya, perlaksanaan undang-undang dan keadilan masih tempang dan menyeleweng," kata Latheefa.

Ekoran tersiarnya artikel tersebut Felda melalui peguamnya telah menghantar surat tuntutan mohon maaf serta ganti rugi sebanyak RM200 juta dalam tempoh seminggu bermula 1 Julai lepas.

Namun amaran dan tindakan undang-undang tersebut tidak sedikit pun mematah semangat KEADILAN untuk menerbitkan akhbar 'KEADILAN'.

Malah Naib Presiden, Azmin Ali berkata tindakan KDN menggantung penerbitan Suara Keadilan bersifat 'mala fide' atau mempunyai niat jahat untuk menyekat pembongkaran lebih banyak kes rasuah dan penyelewengan yang membabitkan pimpinan Umno-Barisan Nasional, kaum klerabat serta kroni mereka.

Pengarah Strategik, Tian Chua menegaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti dan tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

Beberapa pengedar yang dihubungi Suara Keadilan berkata ahli serta penyokong Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN ternanti-nanti akhbar yang diterbitkan parti bagi memenuhi permintaan yang begitu besar.

"Sejak hari Isnin lalu saya telah menerima permintaan untuk lebih daripada 5,000 naskah dan dengan terbitnya 'KEADILAN' ramai ahli serta penyokong KEADILAN berasa lega.

"Ini kerana mereka merasakan maklumat berita yang terdapat di dalam media arus perdana semuanya telah diputar belit untuk mengaburi mata rakyat berhubung isu-isu penting," kata seorang pengedar di Kuala Lumpur. -
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .