KOTA  BHARU: Kenaikan harga barang keperluan utama rakyat baru-baru ini sudah  pasti membebankan rakyat pelbagai peringkat khususnya yang  berpendapatan rendah. Akibat harga gas dan petrol meningkat disamping  harga gula yang pada asalnya RM1.65 kepada RM1.85, ianya telah menjadi  satu bebanan buat mereka.
Seorang pemandu teksi, Mamat  Dollah, 55, ketika ditemui memberitahu dakwaan kerajaan berhubung  kenaikan harga barangan keperluan terbabit hanya untuk penyelarasan  harga merupakan sesuatu yang melucukan.
Beliau juga turut mendakwa  Perdana Menteri, bukan sahaja menipu rakyat dengan kenyataan tersebut,  sebaliknya melindungi kegagalannya sebagai pentadbir negara.
"Pemimpin negara sekarang  semakin teruk, tidak pandai mengurus ekonomi negara hingga barang  keperluan semakin naik. Penyelarasan harga hanya helah kerajaan untuk  menutupi kelemahannya yang gagal mentadbir ekonomi negara," ujarnya.
Samsiah Taharin, 49, berkata  kerajaan tidak seharusnya menghalang peniaga kedai minuman menaikkan  harga jualan mereka. Katanya, kos yang bertambah akibat kenaikan harga  barang terpaksa ditanggung sendiri oleh peniaga dan bukannya kerajaan.
Beliau yang menjual minuman di  kedai Berek 12, dekat sini memberitahu, mahu atau tidak harga air  terpaksa dinaikkan. Tambahnya, apa lagi gula yang dibeli bukan berharga  RM1.85 sekilogram, sebaliknya RM2.00, malah ada sampai RM2.10  sekilogram.
Katanya lagi, walaupun hanya  harga gula, gas dan minyak diumumkan kerajaan, namun harga minuman lain  seperti nescafe, milo dan sebagainya turut meningkat berbanding biasa.  Samsiah yang tinggal di Kampung Khatib Ali, di sini bagaimanapun  melahirkan rasa syukur kerana pelanggannya memahami kenapa harga air  meningkat berbanding biasa.
Ramlah Sulaiman, 43, turut  mendakwa kenaikan harga barang yang diumumkan kerajaan baru-baru ini  amat membebankan beliau serta masyarakat kampung.
Katanya, beliau semakin tertekan  kini apa lagi sumber kewangan untuk keluarga terpaksa dicarinya seorang  diri bagi menyara keluarga, memandangkan suaminya perlu berehat kerana  baru menjalani pembedahan mata.
"Kenaikan harga barang kali ini  begitu teruk sekali sehinggakan ada suri rumah dekat rumah saya terpaksa  bekerja semula untuk menambah rezeki. Jika tidak sumber kewangan yang  diperolehi tidak mampu menampung keperluan keluarga dengan harga yang  semakin meningkat ini," ujarnya lagi.
Setiausaha Yayasan Amal  Kelantan, Abdul Hamid Seman, ketika ditemui memberitahu kerajaan kurang  cermat dalam menangani isu harga barangan sehingga mengambil keputusan  menaikkan harganya.
Jelasnya, mungkin kenaikan harga  minyak sebanyak 5 sen begitu kecil bagi kerajaan, namun pada rakyat  ianya sudah membebankan kerana semua barangan keperluan harian turut  meningkat.
"Tidak keterlaluan saya katakan  mungkin kerajaan menaikkan harga barang sekarang sebagai taktik terbaru.  Bila nak dekat pilihan raya nanti, dia akan turunkan mana-mana harga  yang dikira boleh mencairkan hati rakyat, siapa tahu?" ujarnya.
Siti Mastura Mohd Latif, 22,  memberitahu harga keperluan harian naik dua hingga tiga kali setahun,  sedangkan gaji bulanan belum tentu naik dalam tempoh setahun. Beliau  yang bekerja disebuah syarikat swasta di Kota Bharu berkata, bagi  golongan remaja serta tinggal bersama keluarga, ianya tidak menjadi  masaalah.
"Bagaimana pula pasangan yang  baru berumah tangga, tinggal pula di rumah sewa, apa lagi dengan  pendapatan yang kecil?" soalnya. Jelasnya, golongan berpendapatan rendah  perlu diutamakan kerana mereka tidak mendapat kenaikan gaji setiap  tahun, hanya berdasarkan hasil yang dikeluarkan semata-mata.
  

