Hanya dua negeri yang membuat pengasingan akaun hasil dalam negeri bagi memisahkan sumber halal dan haram iaitu Kelantan dan Pulau Pinang, kata Naib Presiden Pas Mohamad Sabu.
"Pulau Pinang negeri bukan pimpinan bukan Islam lebih peka dengan mengasingkan sumber judi dari akaun. Adakah pimpinan Umno BN akan melakukan benda sama?" katanya pada satu majlis sambutan Aidilfitri di Shah Alam, baru-baru ini.
Isu wang judi hangat berikutan Umno memainkan sentimen agama apabila menuduh tanpa bukti kononnya sumbangan wang ihsan RM100 kepada warga emas beragama Islam adalah hasil judi sedangkan ia sebenarnya diperoleh melalui penjimatan kerajaan.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng secara jujur mengakui hasil judi hanya disalur kepada warga emas bukan Islam tetapi hakikat itu disembunyikan media arus perdana.
Mohamad Sabu berkata, tindakan Umno itu berikutan parti pemerintah menerima pukulan hebat apabila penentangan terhadap kelulusan judi bola sebelum ini, giat dilakukan pimpinan DAP, sebuah parti yang dilabel Umno sebagai anti-Islam.
"Pemimpin Umno tidak marah kalau pemimpin Pas yang menentang lesen judi bola tetapi Umno terasa terpukul apabila pemimpin DAP menjadi individu pertama menentang. Ini menyebabkan Umno berdendam kerana kehilangan ratusan juta ringgit.
"Tidak cukup dengan hal ini, mereka (Umno BN) menghasut orang Melayu dengan menyatakan duit itu adalah duit haram," katanya.