Ikuti Blog ini

Calon Dun Galas : Penyokong Setia Tengku Razaleigh Bantah

Mohd Sayuti Omar
BEBERAPA orang kuat dan sang setia Tengku Razaleigh Hamzah menzahirkan rasa kurang senang terhadap tindak tanduk pemimpin Umno yang tiba-tiba mengingati dan memuji kehebatan ahliparlimen Gua Musang itu beberapa hari ini. Rata-rata mereka yang menghantar SMS atau mengirimkan email kepada saya melahirkan rasa kesal serta menyelar sikap hipokrit mereka itu yang memuji Tengku Razaleigh disaat terjempit.

Menurut mereka, apa yang dilakukan terhadap Tengku Razaleigh seolah-olah ahli parlimen itu boleh diperdagangkan begitu saja. Mereka langsung tidak menghormati maruah Tengku Razaleigh sebagai tokoh veteran Umno apabila membuat pengumuman tanpa pengetahuannya.


Pandangan mereka ini sama dengan pandangan Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meyifatkan cadangan supaya Tengku Razaleigh dilantik menajdi calon di pilihan raya kecil Galas adalah melampau.

Kata Nik Aziz cadangan itu cuba menjatuhkan maruah Tengku Razaleigh sebagai tokoh politik berpengalaman dan tokoh sanjungan Umno Kelantan.

Salah seorang penyokong setia Tengku Razaleigh yang kesal dan berbulu dengan telatah Umno ialah sdr Nasaruddin Rais, bekas ketua Pemuda Umno Bagan Datuh, Perak. Tulis beliau kepada saya dalam SMS; Ku Li tak nak jadi Adun, dia dah jadi Adun sejak tahun 1967 lagi. Ketika itu ramai pemimpin Umno belum lahir termasuk Khairy Jamaluddin. Ku Li juga jadi ketua bahagian sejak tahun 1962 lagi.. ketika itu pekan Gua Musang hanya ada 160 orang saja, Felda dan Kesedar pun belum wujud lagi.."

Nada Nasaruddin itu jelas sekali marah kerana mempermain-mainkan bosnya. Nasa dikenali antara lapisan politician muda yang menjadi penyokong nombor satu Tengku Razaleigh Hamzah di Perak.

Seorang lagi penyokong setia Tengku Razaleigh yang mengirimkan SMS kepada saya ialah sdr Tamrin Ghafar. Kata Tamrin; "Dulu ketepikan TR.. kata TR dah tua, out of touch, nyanyuk dll. Tapi hari ini nak menang semua puji, kata he is the best itu dan ini... Katanya 9hb September Tok Pa (Mustapa Mohamed) akan lead delegation Umno Kelantan nak cium tangan TR di KLIA. Kalau menang mereka kata rakyat sokong 1Malaysia, kalau kalah mereka akan kutuk TR dia tak dak taring dll. Itulah budaya Umno.."

Manakala seorang lagi penyokong yang mengirim SMS kepada saya mengatakan; "Umno memang muka sepuloh sen tidak malu betul. Masa mereka nak mereka dekati Tengku, masa tak suka mereka caci dan hina Tengku.. Ingat Tengku bukan budak boleh disuruh dan dibentak-bentak."

Merumuskan pandangan dan rasa terkilan itu bahawa penyokong Tengku Razakleigh tidak bersetuju kalau bekas menteri kewangan itu dilantik menjadi pengarah atau calon dalam pilihan raya Galas. Mereka kesal dengan cara Umno melayani tokoh veteran itu.

Suara akar umbi penyokong Tengku Razaleih itu tentu akan diberi perhatian oleh Tengku Razaleigh sendiri. Tengku Razaleigh biasanya tidak akan mengambil keputusan sebelum berunding dengan penyokongnya. Tengku Razaleigh seorang yang menghormati pandangan orang lain.

Manakala seorang lagi penyokong Tengku Razaleigh memberi cadangan kepada Tengku Razaleigh agar beliau tidak terperangkap dalam tektik para pemimpin Umno itu. Katanya kalau Muhyiddin Yassin atau Najib Razak ikhlas untuk mendapat bantuan tenaga dan pengaruhnya di GAlas, Tengku Razaleigh hendak demand sesuatu dari Najib. Sebaik-baik demand katanya ialah minta Najib lantik jadi Penasihat Petronas.

Sekiranya beliau menerima pelawaan Umno itu, ini bermakna Tengku Razakleig boleh diperkotakaktikkan. Sememangnya wajar kalau Tengku Razaleig tidak memenuhi harapan Umno itu, (sebenarnya pemimpin tertinggi Umno termasuk Muhyiddin dan Najib). Tengku Razaleigh harus ingat apa yang Najib lakukan keapdanya semasa berdepan dengan Mahathir tahun 1987. Siapa yang mengkhianati Tengku Razaleigh kalau bukan Najib yang belut di saat-saat akhir?

Kalau Tengku Razaleigh tidak sedia untuk akur atas keputusan parti, bukan bermakna beliau degil atau ingin membalas dendam, tetapi penolakan Tengku Razaleigh nanti adalah untuk memberi keinsafan kepada mereka yang tidak tahu menilai budi dan dalam pada itu juga bagi mengelakkan beliau akan disorak sekali lagi.

Najib juga tidak perlu kecewa kalau Tengku Razaleigh tidak sedia untuk jadi calon ataupun pengarah pilihan raya. Najib perlu sedar diri dan tanya diri sendiri apa yang beliau telah membantu Tengku Razaleigh sejak beliau jadi PM atau sebelum ini. Walhal kalau hendak dikira beliau lebih manja dan mesra dengan Tengku Razaleigh berbanding dengan Dr Mahathir. Sejak beliau jadi PM menurut Tengku Razaleigh Najib tidak pernah memberi apa-apa peranan untuk beliau membantu kerajaan Najib.

Mungkin Najib sudah faham sikap Tengku Razaleigh berhubung pilihan raya Galas itu sebab itu beliau tidak mengulas banyak mengenai cadangan Muhyiddin Yassin supaya Tengkiu Razaleigh dilantik jadi pengarah atau calon BN di Galas.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .