Ikuti Blog ini

Banglo Seorang Datuk jadi Pusat Pengedaran Dadah

Banglo datuk pusat dadah

ROSLAN menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah mempunyai perniagaan chalet di Cherating, Pahang, ia tidak dapat menampung gaya hidup mewah seorang lelaki bergelar datuk dari Pahang berusia 46 tahun dan isterinya warga Britain di Taman Muhibah, Chukai, hingga menjadikan banglo mereka sebagai pusat pengedaran dadah di daerah Kemaman dan Cherating.

Bagaimanapun, kemewahan mereka tidak kekal lama apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 dan menyita harta bernilai RM246,000 merangkumi wang tunai, kereta Mercedes-Benz, Proton Gen2 dan Honda Civic serta barang kemas.

Dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, polis turut menahan wanita berusia 18 tahun yang juga anak angkat pasangan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan itu membolehkan polis merekodkan rampasan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun di kawasan Terengganu Selatan.

Katanya, ketika diserbu hanya isteri suspek berada di rumah bersama anak angkat mereka dan pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik, manakala lima batang pokok ganja ditanam dalam beg plastik hitam dan diletakkan di balkoni rumah itu.

Roslan berkata, tidak lama kemudian, lelaki itu pulang ke rumah dan pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah lagi dadah yang disimpan di dalam biliknya.
“Siasatan awal mendapati pasangan ini penagih tegar sejak 15 tahun lalu dan membelanjakan RM10,000 sebulan untuk membeli dadah.

“Polis percaya kos menagih mereka tidak dapat dipenuhi daripada hasil perniagaan chalet itu. Mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu di kawasan Kemaman dan Cherating, Pahang.

“Tiga suspek itu direman sehingga 19 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; 39 A(2) 12(2); 6, 6(b), 15(1)(a),” katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .