Ikuti Blog ini

Khalid dinasihat cabar kemelut SUK di mahkamah


KUALA LUMPUR, 1 Jan – Seorang pakar perlembagaan berpendapat peluang terbaik yang ada pada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid (gambar) dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata Profesor A Aziz Bari hari ini.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.


“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi tadi, Khalid berkata, beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Semalam, Aziz dan peguam veteran Karpal Singh melahirkan pendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Karpal sedang menguruskan nasihat perundangan kepada Menteri Besar Selangor.

Mereka berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar, bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Menjelaskan lanjut, Aziz berkata, “melihat pada kontroversi yang berterusan, kemungkinan jalan terbaik bagi Menteri Besar Khalid ialah membawa perkara ini ke mahkamah dan melihat bagaimana hakim-hakim akan menari kelak, sama ada mereka ada akrobatik perundangan baru untuk tunjuk kepada kita.”

Beliau juga menyebut keputusan-keputusan mahkamah selepas pilihan raya umum 2008 yang dengan jelas menunjukkan memihak Umno, parti teras dalam Barisan Nasional (BN).

Aziz juga memberitahu, krisis semasa di Selangor adalah akibat tindakan pentadbiran Mahathir pada 1994 apabila beliau meminda Perlembagaan Persekutuan dan memperkukuh kuasa eksekutif dengan mengehadkan kuasa istana.

“Sekarang ini undang-udangnya – malah perlembagaan berkata, selepas mempertimbangkan nasihat (daripada perdana menteri atau menteri besar), Agong atau Sultan mesti menerima nasihat itu,” kata beliau lagi.

“Sekarang, Umno cuba menggunakan raja-raja untuk mensabotaj negeri-negeri diperintah Pakatan.

“Umno sudah lupa bahawa, satu hari ia akan jatuh; dan kesemua pendekatan yang ia ambil untuk memperkukuhkan kuasa kerajaan (BN) akan mengheret mereka ke bawah(jatuh),” tambah beliau.

Aziz menambah, jika mahkamah membuat keputusan memihak Umno dalam kemelutu Selangor, maka ia perlu memutuskan bahawa pindaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1994 adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .