Ikuti Blog ini

Cabaran getir PAS Selangor pertahan kerajaan

SHAH ALAM, 20 April: PAS Selangor bersedia menghadapi cabaran berhadapan dengan hasrat semua pihak untuk mengambil semula pentadbiran kerajaan negeri paling maju di Malaysia ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan pilihan raya depan sebagai sangat getir dengan segala cubaan musuh untuk berkuasa semula.

Dr Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Waqaf Bangunan PAS tiga tingkat bernilai RM1.3 juta, di sini malam tadi.

(Gambar: Haji Shafie dari Serdang berjaya membeli jualan awal dengan harga RM10 ribu untuk seperenam kaki yang asalnya berharga RM50 daripada Dr Hasan.)

Menurutnya, bangunan yang bakal menjadi pemangkin utama pusat gerak kerja seluruh petugas semua peringkat itu amat perlu disegerakan.

"Harapan besar kita agar segala impian ini akan dapat menjadi realiti dalam masa terdekat.

"Syukur kerana bayaran 10 peratus daripada bayaran itu telah disumbangkan oleh sahabat kita, Datuk Kapten (B) Abu Zahar Hashim.

"Moga sumbangan permulaan sangat hebat ini menjadi perangsang kepada semua pihak untuk tingkatkan usaha mencari sumber kewangan berkaitan," tegasnya.

Untuk rekod, Abu Zahar adalah bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter, menyertai PAS pada 24 Disember 2008.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian itu kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak (ketika itu) menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Manakala bangunan PAS pula terletak di Alam-I berhampiran Kompleks Perniagaan World Wide, dekat sini.

Menerusi sesi bidaan pertama yang dijalankan oleh Dr Hasan sendiri bagi mencari pembeli paling mahal untuk tanah seluas satu perenam yang asalnya berharga RM50 akhir berjaya mencapai RM10 ribu.

Pembida yang bernasib baik itu adalah Haji Shafie dari kawasan Serdang.

Sementara itu, kehadiran pimpinan semua PAS kawasan seluruh negeri termasuk Ahli Parlimen, Adun-adun termasuk kalangan korporat serta semua individu prihatin membangkitkan semangat penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Bangunan PAS negeri, Ir Iskandar Abdul Samad merangkap Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor kelihatan ceria dan bersalaman dengan hadirin walau kakinya sedang sakit.

(Kanan: Turut hadir adalah pimpinan DHPP Selangor.)

Turut kelihatan adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof, Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor era 1980-an, Haji Mohsinon Tahir, bekas Ketua Dewan Ulamak negeri sezaman, Ustaz Omar Hashim, Exco, Dr Hajah Halimah Ali dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mewakili kaum Cina dan India.

Ketika hadirin enak menikmati hidangan makan malam, mereka dihiburkan dengan hiburan mendidik jiwa dari Kumpulan Nasyid Wildan yang turut dendangkan lagu Tamil yang bakal dilancarkan di Chennai, India.

Dalam pada itu, Hasan berkata, meskipun bayaran bulanan sebanyak RM37 ribu atau RM1,200 sehari namun akan berusaha untuk segera selesaikan.

"Kita tidak mahu terikat dengan isu bayar lama ini kerana banyak lagi usaha dan program yang perlu dilakukan," jelasnya.

Kerjasama semua pihak mencari sumber kewangan bakal menyelesaikan hal berkaitan, tegasnya.

Di akhir majlis, Iskandar menyampaikan sijil dan buku resit kepada dewan-dewan dan semua wakil PAS kawasan untuk mereka sampaikan hasrat besar ini ke seluruh peringkat.

Beliau juga memaklumkan satu lagi majlis makan malam besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat bakal dihadiri oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .