KOTA SAMARAHAN, 3 April:  Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mengingatkan rakyat Sarawak  agar menjaga perinsip dan maruah diri dan  tidak terlalu mudah 'dibeli'  dengan sedikit habuan menjelang pilihan  raya negeri ini.
Berucap  sewaktu melancarkan gerak kerja pilihan raya bagi Dun Muara Tuang,  malam tadi, presiden PAS itu berkata, rakyat sebenarnya berkuasa memilih  pemimpin mana yang baik untuk menjadi wakil mereka dan bukan memelih  kerana dibeli.
“Rakyat di negeri jangan memilih pemimpin yang cuba membeli kita pada musim-musim (pilihanraya) seperti ini.
“Kita  mempunyai maruah yang tinggi dan berkuasa menentukan siapa pemimpin  yang perlu kita pilih,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Turut  hadir dalam majlis perlancaran berkenaan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,  Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar.
Sambil  mengingatkan rakyat agar memilih pemimpin yang mampu membangkitkan  masalah mereka, Tuan Guru Abdul Hadi berkata Sarawak tidak memerlukan  pemimpin yang hanya turun lima tahun sekali untuk menabur janji.
Apatah  lagi ujarnya, selama BN memerintah di Sarawak, mereka hanya menjaga  kroni-kroni mereka khususnya yang rapat dengan Ketua Menteri (KM)  Sarawak, Penin Sri Haji Abdul Taib Mahmood.
“Kita tidak mahu pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali dan membeli kita dengan menabur pelbagai janji pembangunan.
“Negeri  Sarawak kaya dengan pelbagi hasil sepeti minyak, balik dan hasil bumi  yang lain. Tetapi kekayaan itu hanya berpusing disekitar mereka (BN) dan  yang rapat dengan KM,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Sarawak menjadi  antara negeri yang termiskin di Malaysia akibat kerakusan pemimpin BN di  negeri ini yang mencuri duit rakyat.
Sehubungan itu, rakyat  nasihatnya, perlulah memilih pemimpin yang amanah dengan harta negeri  dan ini dibuktikan oleh pemimpin PAS yang telah memerintah di negeri  seperti Kelantan, Terengganu (1999-2004) dan Kedah.
Tambahnya  lagi, PAS yang dasarnya ialah Islam, memberi jaminan sesekali tidak  menganggu hak agama lain untuk mengamalkan amalan agama mereka.
“Menjadi  dasar  PAS yang asasnya Islam, menjamin hak dan amalam agama lain.  Islam membenarkan agama lain diamalkan secara bebas tanpa diganggu,”  ujarnya. -Hrkh


