TIDAK  sukar untuk membaca maksud yang tersirat seperti yang dikeluarkan  oleh  kerajaan berhubung kenaikan minyak petrol.  Petikan Malaysiakini hari ini melaporkan, "
Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga petrol RON 95 buat masa ini sekalipun harga semasa minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan tidak dapat menjamin perkara tersebut pada masa depan jika krisis di negara pengeluar minyak berterusan.
Apabila kita membaca kenyataan dari  menteri  berkenaan, kita sudah boleh merasakan akan berlaku sesuatu  selepas  pilihanraya negeri di Sarawak nanti.  Menteri ini sibuk  menasihati  rakyat jangan terlalu bergantung kepada subsidi, tetapi yang  mendapat  subsidi paling banyak siapa?  Menteri ini tidak menasihatkan   syarikat-syarikat besar atau GLC yang kini terlalu mewah dengan subsidi   kerajaan.  Mengapa rakyat yang menteri ini sedar kebanyakannya hidup   susah di`bebel'kan dengan subsidi?
Jika  rakyat bijak dan cerdik,  tiada sebab mereka mahu menolak tawaran dari  PR jika memerintah  Putrajaya hari ini, esok harga minyak turun.  Memang  pemimpin Umno akan  mendakwa itu adalah janji-janji manis PR sahaja  kerana pemimpin Umno ini  amat takut mereka kehilangan kuasa.  Jika  mereka ada hujah atau fakta  bahawa PR berbohong tentang janji tersebut  atau janji-janji yang  terdapat di dalam Buku Jingga, mengapa mereka  takut untuk berdebat  secara ilmiah?
Sebaliknya menteri ini  bercakap seperti  budak-budak hingusan yang mencabar agar negeri-negeri  di bawah PR  terlebih dahulu turunkan harga minyak.  Ini bukan hujah,  ini lawak  jenaka yang memperbodohkan diri menteri itu sendiri.   Kadangkala terliur  kita melihat bagaimana negara-negara lain yang  menjadi negara pengeluar  minyak seperti negara kita, rakyatnya mewah  menggunakan hasil bumi  negara mereka sendiri.  Di mana akal menteri  kita yang berhujah bahawa  harga minyak di negara kita lebih murah jika  dibandingkan dengan  Thailand dan Singapura.  Adakah mereka anggap  kesemua rakyat di negara  ini seperti `katak di bawah tempurung'?
Bayangkan,  jika kita  memiliki dusun durian adakah kita mahu menjual durian kita  dengan harga  yang mahal kepada anak beranak atau kaum kerabat kita?   Atau, kita akan  berhujah bahawa orang lain menjual durian lebih mahal  dari kita jual  kepada anak beranak dan kaum kerabat kita?  Durian gred  bermutu, anak  beranak dan kaum kerabat kita tidak boleh merasainya  kerana kita menjual  mahal.  Durian yang tidak bermutu, pecah, busuk dan  masam kita jamu  kepada anak beranak dan kaum kerabat kita, itu pun  dengan harga yang  mereka berfikir dua tiga kali untuk membelinya.   Jenis apa kita?
Pilihanraya  Umum Ke 13 nanti satu lagi ujian  buat rakyat.  Adakah kita bersedia  untuk terus diperbodohkan atau  tidak.  Pilihanraya Negeri Sarawak, saya  tidak berani meramalkannya  kerana budaya politik di negeri tersebut  tidak tahu untuk saya  memikirkannya.  Apa yang saya tahu, Taib Mahmud  serta keluarganya terus  mewah dan kaya raya dan Taib sendiri mempunyai  isteri muda yang baru./wfauzdin.blogspot.com


