Ikuti Blog ini

Suaram Gesa Polis Henti Ganggu Ceramah Pakatan

Petaling Jaya: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan pihak polis mengganggu beberapa siri aktiviti pakatan rakyat terutama ceramah yang melibatkan ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertubuhan itu menuntut pihak polis menghentikan segala tindakan gangguan dan siasatan terhadap ahli-ahli Pakatan Rakyat termasuk Anwar dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan politik dan kemasyarakatan.

Lanjutan itu, Suaram akan meneruskan usaha menuntut kerajaan melakukan penggubalan akta polis terutama Seksyen 27 yang mudah untuk disalah gunakan oleh pihak polis dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC).

Penyeraras Suaram, Yap Heng Lung berkata, tindakan polis mencabuli hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan terutamanya dalam Artikel 10 yang berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Suaram, tambahnya yakin sekatan ke atas kebebasan yang juga terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia (1948) itu bermotifkan politik.

“Ia merupakan usaha bagi menghalang ahli PR untuk mendedahkan pelbagai isu yang melibatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terbaru, pihak polis menggangu satu majlis makan malam dan ceramah yang dihadiri oleh ketua umum PKR yang diadakan di Bentong, Sri Aman, Sarawak, semalam.

Gangguan sama dilaporkan turut berlaku di Kuching dan Satok.

Pada 25 Mac lepas, polis juga menghentikan ucapan Anwar dalam satu perhimpunan ceramah tertutup di Taman Melawati, Hulu Kelang. Tindakan polis tersebut telah mencetuskan kekecohan di antara hadirin dan pihak polis. -FMT


Polis ganggu lagi ceramah Anwar



Polis mengganggu ceramah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kali ketiga berturut-turut - malam ini di ceramah terbesar parti itu di Betong - yang merupakan kubu kuat Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu.

Majlis makan malam dan ceramah itu - yang diadakan di medan selera
terbuka di Betong, sebuah pekan kecil yang terletak 70km di utara Sri Aman - bermula dengan lancar dengan pemimpin PKR tempatan, termasuk empat calon, menyampaikan ucapan kira-kira lebih sejam tanpa sebarang gangguan.

Anwar tiba pada jam 9.30 malam dengan disambut oleh hampir 1,000 penduduk pelbagai kaum berserta laungan "Reformasi".

Bagaimanapun, apabila Anwar bercakap kira-kira 10 minit, seorang anggota polis beruniform mendekati ketua pembangkang itu dan memintanya berhentikan berucap, menyebabkan timbul ketegangan di kalangan hadirin.

Selepas rundingan ringkas, Anwar bersetuju memendekkan ucapannya.

Beliau kemudian meneruskan ucapannya selama 20 minit lagi sebelum polis mengganggunya lagi.

Malaysiakini difahamkan oleh pihak penganjur bahawa pihak polis telah mengeluarkan permit kepada PKR untuk mengadakan 'mesyuarat luar biasa' dan bukannya ceramah politik atas alasan tempoh kempen belum bermula.

Sebelum berhenti berucap, Anwar mendakwa pihak polis tidak akan mengambil sebarang tindakan jika ceramah gagal menarik ramai hadirin.

"Jika hanya ada 10 orang, polis tidak akan ganggu. Tetapi bila terdapat ramai orang seperti malam ini, mereka akan mengganggu," katanya.

Menurut timbalan ketua Wanita PKR Sarawak, Cecilia Siti Una, kehadiran malam ini adalah yang terbesar dalam sejarah Betong.

"Bukan mudah untuk meminta penduduk Betong menghadiri ceramah politik," katanya kepada Malaysiakini. -mk
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .