Di Alor Setar kira-kira 500 ahli Perkasa Daerah Kota Setar berkumpul di kawasan dataran berhadapan Masjid Zahir, bagi menyatakan bantahan terhadap perhimpunan BERSIH. Himpunan dibuat sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 10.30 pagi.
Sebenarnya tidak ada masalah perhimpunan atau perarakan yang dibuat oleh mana-mana pihak, kerana ini adalah hak yang dibenarkan oleh perlembagaan. Biarlah pihak yang membantah perhimpunan BERSIH membuat bantahan. Persoalannya kenapa himpunan BERSIH 9 Julai 2011, belum buat sudah diugut untuk ditangkap? Manakala perhimpunan menentang BERSIH tidak diapa-apakan. Apakah di negara ini sudah ada dua undang-undang? Jika himpunan dibuat oleh pihak sokong UMNO ia kebal daripada sebarang tindakan. Jika pihak Pakatan Rakyat, belum himpunan dibuat sudah hendak ditangkap, seperti kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada penganjur BERSIH. Inilah Malaysia negaraku, inilah polis di negaraku.
*Kenyataan media oleh Idris Ahmad (gambar kanan) selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.