Ikuti Blog ini

BERSIH 2.0, APA YANG TAKUT SANGAT ???

Keadaan sudah macam kelam kabut dan hingar bangar. Suasana tidak semena-mena sudah menjadi tegang. Sana sini orang bercakap pasal Perhimpunan BERSIH 2.0 yang bakal diadakan pada 9hb Julai nanti. Belum apa-apa lagi pihak polis sudah memulakan siri tangkapan. Ramai aktivis dan ahli-ahli politik khususnya pembangkang telah ditahan. Dipihak kerajaan pula, ramai ahli-ahli politik yang sudah bersiap untuk bersilat dan bergusti. Semuanya bertujuan hendak menggagalkan perhimpunan itu. Apa yang ditakuti sangat sebenarnya tentang perhimpunan itu? Penganjur BERSIH 2.0 telah berulang kali menyatakan perhimpunan ini akan diadakan secara aman. Mereka akan berarak secara aman. Tujuannya hanya untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang Dipertuan Agong berkaitan ketidakpuashatian rakyat terhadap perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR kini. Itu saja. Tidak lebih dari itu.

Tapi, kenapa Kerajaan, khususnya UMNO/BN takut sangat? Sampai mengelabah dan meroyan tak tentu pasal. Ibarat 'kucing mati anak' kata pepatah Melayu, 'berlari kesana tak kena, berlari kesini juga tak menjadi.' Apakah BERSIH 2.0 itu laksana 'lembaga hodoh' atau 'hantu' yang paling digeruni? Sampai segala macam cara telah mula dibuat untuk menghalangnya? Tidak cukup dengan asakan dari media arus-perdana agar rakyat menjauhi perhimpunan ini, berbagai kempen 'memomokkan' perhimpunan ini juga telah dilancar. Pihak polis pula terus beraksi menangkap dan menahan aktivis-aktivis perhimpunan yang rata-rata hanya memperjuangkan kebersihan dan reformasi pada sistem pilihanraya yang ada. Itu saja. Paling terakhir kini, mereka yang pakai baju kuning pula menjadi sasaran. Seolah-olah kerajaan 'fobia' dengan warna kuning yang menjadi lambang gerakan BERSIH!.

Bagi saya, perhimpunan ini hanyalah sekaadar suatu manifestasi suara rakyat yang ingin berarak menunujukkan rasa tidak puashati terhadap Kerajaan, teutamanya SPR tentang sistem perjalanan pilihanraya dinegara ini. Ianya tidak lebih dari itu. Ianya dianjurkan oleh sebuah NGO yang non-partisan, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politi. BN juga telah dijemput untuk turut serta, tetapi telah menolak jemputan tersebut dan kini nampak seolah-olah hanya disertai oleh parti-parti politik pembangkang sahaja. Kerana matlamatnya baik kepada semua pihak, ianya sudah tentu mendapat sokongan hebat dari parti-parti i pembangkang. Matlamatnya tidak lain dari menyatakan rasa tidak puashati rakyat agar dilakukan reformasi segera keatas perjalanan sistem piliharaya dinegara ini yang harus lebih bebas, adil dan telus. Sebanyak 8 perkara dasar di perjuangkan, antaranya reformasi undi pos; penggunaan dakwat jari kekal bagi pengundi,, agihan peluang akses kepada media yang lebih bebas dan telus, dan beberapa tuntutan lagi.

Semua tuntutan ini adalah bersifat universal. Ianya bukan sesuatu yang luar-biasa atau bermotifkan politik seperti didakwa oleh Keajaan. Jadi apa yang kita takutkan. Kita patut sokong, asal saja semua tuntutan ini memang sesuatu yang fitrah dan patut sangat diadakan dari dulu lagi. Kenapa kita mesti berhempas pulas menentangnya? Kenapa kita mesti desak agar perhimpunan ini dibatalkan kalau ianya adalah demi kebaikan bersama?

Tak perlulah PERKASA melalak tak tentu pasal menentang perhimpunan ini. Begitu juga Pemuda UMNO tak perlu bersilat sakan untuk menyatakan penentangan terhadap gagasan ini. Maha Guru Omar Din juga tidak perlu mengeluarkan ugutan dan ancaman yang berbaur hasutan, kononnya akan ada 'darah mengalir' jika perhimpunan ini diteruskan.

Sebagai rakyat Malaysia yang berfikiran matang, berpendirian dan berpengetahuan luas, saya rasa kita patut menyokong gerakan yang dibuat oleh BESIH. Memang menjadi matlamat kita selama ini pun ingin agar piliharaya diMalaysia diadakan dalam keadaan yang telus, bersih dan adil. Bila pilihanraya diadakan dalam keadaan bersih dan telus, pemilihan kepimpinan yang dibuat menerusi pilihanraya itu akan lebih 'legitimate' dan berintegeriti. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini ada pemimpin yang hanya menang'melalui saluran undi pos' yang entah dari mana datangnya. Tidak ada lagi apa yang kita lihat hari ini setiap kali piliharaya diadakan, penyalahgunaa kuasa oleh pihak parti pemerintah mengekspolitkan jabatan-jabatan Kerajaan melobi undi dari rakyat. Hampir semua akses kepada media perdana dibolot oleh parti kerajaan sedangkan parti pembangkan g tidak langsung diberi peluang bercakap dan menyampaikan matlamat perjuangan mereka kepada rakyat walau dengan sebaris ayat pun menerusi media perdana yang dibiayai wang cukai dari rakyat.. Ugutan, rasuah dan sogokan mejadi teras dimana-mana pilihanraya. Parti politik pemerintah dengan sewenang-wenangnya menawarkan habuan dan janji manis bagi mendapatkan sokongan dan undi rakyat. Ini belum termasuk bab memperbaikki jalanraya, membersih longkong, membaikpulih bangunan dan mendiriaan surau dan masjid pun dibuat waktu nak pilihanraya.....

Rakyat sedang memerhatikan ini semua. Rakyat bukan lagi bodoh macam rakyat ditahun-tahuan 50an dan 60an dulu. Rakyat kini terdedah kepada maklumat, berilmu dan sudah boleh menilai apa yang betul dan apa yang salah.

Ketakutan yang melanda kerajaan berkaitan isu perhimpunan ini sebenarnya menampakkan yang banyak sangat 'kotoran' yang sedang berlaku setiapkali pilihanraya diadakan. Kalau boleh 'kekotoran; ini mahu dikekalkan demi kesimbungan kuasa politik mereka. Tapi sampai bila ?

Seperti kata pepatah: "Berani kerana benar, takut kerana bersalah". Jelaslah yang pihak keajaan BN sekarang merasa atkut kerana "bersalah". Fikir-fikirkan lah............

sallehhashim-klang
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .