Sambil mengajak rakyat menolak cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi pembelian tambah nilai prabayar dan permulaan prabayar/pek SIM bagi semua syarikat telekomunikasi, beliau berkata, rakyat mesti memahami bahawa langkah itu sebenarnya adalah langkah kerajaan sendiri dan bukannya langkah syarikat-syarikat telekomunikasi.
"Pertamanya, syarikat-syarikat telekomunikasi berebut-berebut menawarkan perkhidmatan yang lebih murah kepada pengguna dan agak ironi jika tiba-tiba mereka mahu mengenakan tambahan bayaran sebanyak enam peratus.
"Kedua, sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak mengenakan levi di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975 bagi perkhidmatan prabayar mudah alih kerana tidak dikuatkuasakan oleh kerajaan.
"Oleh itu, ia dengan sendirinya bermakna kerajaanlah yang beria-ia mahu menguatkuasakan levi tersebut mulai 15 September ini," kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan mengapa kerajaan tergamak menghempaskan beban ke atas rakyat bawahan termasuk yang berpendapatan rendah malah yang tidak berpendapatan yang merupakan majoriti pengguna perkhidmatan prabayar mudah alih.
"Majoriti pengguna perkhidmatan prabayar mudah alih ialah rakyat bawahan termasuk rakyat berpendapatan rendah, orang miskin, remaja tanpa pekerjaan, pelajar sekolah dan mahasiswa.
"Tindakan kerajaan memeras mereka untuk menambahkan pendapatannya tidak boleh diterima sama sekali," kata Mahfuz yang juga Pengerusi Lujnah Pengguna PAS.
Sebagai kerajaan, katanya lagi, ia sepatutnya memikirkan cara untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya menambahkan lagi beban rakyat terutama rakyat miskin.
Jika kerajaan sudah hilang akal untuk menambahkan pendapatan negara, Mahfuz secara sinis mengesyorkan para pemimpin kerajaan terutama anggota kabinet pergi meminta sedekah di tangga-tangga jejambat dan di mana sekalipun.
"Meminta sedekah tidaklah seburuk memeras rakyat berpendapatan rendah, rakyat miskin dan para pelajar," katanya.
Mahfuz menggesa rakyat menolak sukai tersebut kerana ia sebenarnya adalah muqaddimah kepada pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta tindakan merentap subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) jika parti itu memenangi pilihan raya akan datang.