Kuala Lumpur: “Saya begitu terharu dengan penghargaan ini. Walaupun saya sedih sebab ayah sudah tiada, sekurang-kurangnya pejuang sepertinya dikenang dalam bentuk sewajarnya. Saya bangga,” kata Ahmad Jamil (gambar), waris kepada pejuang Bukit Kepong, Allahyarham Sarjan Jamil Mohd Shah.
Menurutnya, ketika peristiwa meragut nyawa insan tersayang itu, dia baru berumur enam tahun 10 bulan dan tidak mengingati kejadian terbabit dan dia hanya dimaklumkan tidak mempunyai bapa sejak lahir.
Katanya, biarpun pelbagai tafsiran diberikan masyarakat berhubung kejadian 61 tahun lalu, dia tetap berbangga kerana menjadi seorang bapa yang sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis.
“Anugerah ini begitu istimewa kepada saya. Apa yang saya tahu, kami empat beradik kehilangan ayah dalam peristiwa berkenaan dan paling pilu, ketika itu ibu saya baru 10 hari melahirkan adik bongsu,” katanya selepas menerima Anugerah Wira Bukit Kepong mewakili keluarganya yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Najib yang juga Presiden Umno menyampaikan anugerah berkenaan kepada semua 16 waris anggota keselamatan negara yang terkorban ketika mempertahankan Bukit Kepong daripada ancaman komunis.
Seorang lagi waris, Mohd Mokhtar Mohd Yassin berkata, dia terkilan dengan tindakan pihak pembangkang mempersoalkan usaha pejuang mempertahankan negara dan pada masa sama mengguris perasaan ahli keluarga yang bersedih akibat kehilangan orang tersayang.
“Biarpun ia sudah berpuluh tahun berlalu, namun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas penganugerahan ini. Tetapi saya tidak puas hati dengan cara pembangkang cuba membangkitkan isu ini,” katanya.-hm
Sebelum Mat Sabu membongkar hal ini, yang dikatakan "wira-wira" Bukit Kepong itu lansung tidak mendapat perhatian.
Tetapi sejak isu itu ditimbulkan oleh Mat Sabu, tiba-tiba bermacam-macam anugerah diberikan kepada waris-waris polis Bukit Kepong.
Syabas kepada Mat Sabu sekalipun Mat Sabu terpaksa berdepan dengan tindakan mahkamah hasil dari fitnah Utusan. -GB