Orang ramai yang hadir pada Forum Rakyat ' Erti Kemerdekaan Sebenar ' Di Kota Bharu malam tadi dikejutkan dengan kejadian beberapa kenderaan disembur cat hijau dan digores oleh pihak tertentu.
Mohd Nasir Ismail, 45 dari Pasir Mas berkata, keretanya jenis Unser Toyota yang di parkir berhampiran Gelanggang Seni disembur cat hijau.
Katanya, banyak lagi kenderaan milik orang lain yang diletak di situ menerima nasib yang sama.
”Ketika saya datang ke tempat kereta semasa hendak pulang saya lihat ada anggota polis di kawasan berhampiran, namun dia tidak menanyakan apa yang berlaku.
”Saya yakin pihak yang melakukan perbuatan khianat itu berani kerana kemungkinan besar mereka dilindungi kuasa politik.
”Kita boleh lihat sendiri apabila kes aktivis Gerakan Bertindak Kembali Royalti Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali yang ditampar veteran Umno beberapa bulan lalu tidak diambil sebarang tindakan biar pun laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.
Turut menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut kereta milik seorang wartawan tempatan. Difahamkan beliau sudah membuat laporan polis pagi ini. -Hrkh