Video Lingam: Perakuan tak perlu semakan semula
Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan bahawa tidak perlu dibuat semakan semula terhadap hasil penemuan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat klip video kontroversi melibatkan peguam Datuk VK Lingam yang didakwa cuba campur tangan dalam pelantikan hakim.

Hakim Md Raus, yang membacakan keputusan mahkamah itu, berkata bahawa kedudukan Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, tidak terjejas teruk akibat daripada penemuan suruhanjaya itu.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Diraja itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Lingam dan dua bekas Ketua Hakim Negara berkenaan, membuat rayuan bagi mencabar keputusan suruhanjaya itu.

Laporan itu menyebut bahawa terdapat keterangan prima facie bagi menyiasat mereka ini berhubung kesalahan mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Guaman.
Suruhanjaya itu mendapati bahawa klip video berkenaan adalah tulen dan Lingam merupakan orang yang dilihat sedang bercakap (melalui telefon) dengan Ahmad Fairuz.
- Bernama