Ikuti Blog ini

RM83.88 juta dibazirkan untuk naik imej Umno BN


KUALA LUMPUR, 12 Okt: RM83.88 juta yang dibazirkan untuk mempromosikan imej kerajaan Umno boleh digunakan untuk memajukan lebih 600 pelajar terpilih Melayu dalam masa lima tahun, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Untuk naikkan imej kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) di luar negara, wang rakyat lebih RM80 juta dibayar kepada syarikat perunding FBC Media.

"Ini satu lagi bukti pembohongan Umno kononnya berkhidmat untuk orang Melayu kerana RM80 juta itu boleh digunakan untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang boleh dimanfaatkan oleh anak-anak Melayu yang masih ketinggalan dari segi pencapaian dalam bidang pelajaran," katanya.

Menurut Mohamad,  dengan anggaran paling konservatif sekalipun, jika sebuah MRSM mengambil 100 hingga 125 orang pelajar setiap tahun, dalam masa lima tahun ia boleh menampung antara 500 hingga 625 pelajar Melayu yang terpilih.

"Kecuali sejumlah kecil, pelajar-pelajar terpilih rata-ratanya mampu melanjutkan pelajaran sehingga ke institusi pengajian tinggi.

"Ia dengan sendirinya bermakna dengan belanja RM80 juta untuk membina sebuah MRSM sahaja, setiap tahun sehingga beratus-ratus orang mencapai tahap kelas menengah Melayu yang dengan sendiri mengubah nasib bangsa," kata beliau.

Mohamad berkata, apabila sejumlah wang yang mampu membina institusi yang boleh mengubah nasib rakyat itu diboroskan kononnya untuk menaikkan imej kerajaan Umno BN, ia hakikatnya adalah pengkhianatan terhadap para pelajar yang memerlukan peruntukan itu untuk kepentingan pelajaran mereka.

"Saya ambil MRSM sebagai contoh sebab setiap hari Umno terpekik-pekik membohongi semua orang kononnya ia membela Melayu.

"Lebih dari itu, selama ini, peluang pelajaranlah yang banyak mengubah nasib orang-orang Melayu," kata beliau.

Beliau juga mempertikaikan apa perlunya wang yang begitu besar dibelanjakan jika kerajaan Umno BN mempunyai imej yang dihormati, baik dan bersih.

"Kalau benar kerajaan Umno BN cerdik, baik, bersih dan adil, tak perlu bayar duit pun ia pasti akan menjadi sebutan media-media seluruh dunia, ia pasti akan disebut-sebut di mana-mana pun sebagai contoh kerajaan yang mempunyai sifat-sifat sedemikian.

"Pelabur tertarik, pelancong tertarik, semua pihak tertarik kalau benar kerajaan Umno BN cerdik, baik, bersih dan adil," kata Mohamad.

Isnin lalu, Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan telah membayar sejumlah 19.6 juta Euro (RM83.88 juta) kepada syarikat perunding, FBC Media yang kini disiasat oleh pengawal media Britain atas dakwaan melanggar etika media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kontrak itu adalah untuk FBC Media menyedikan khidmat rundingan, nasihat serta pengurusan kempen komunikasi kepada kerajaan.

“Kontrak selama setahun itu telah disambung sebanyak dua kali dan ditamatkan pada tahun 2010. Nilai kontrak untuk tiga tahun itu ialah Euro 19.6 juta,” kata Najib.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .