KUALA LUMPUR – Gerakan Menutup Aurat Antarabangsa (Gemar) yang dianggotai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam akan mengedarkan tudung percuma dan mengedarkan risalah menutup aurat kepada orang ramai pada 11, 12 dan 14 Februari ini di Pulau Pinang.
Gemar melalui satu kenyataan media memberitahu, aktiviti itu antara program yang terkandung dalam `Operasi Sayangi Remaja’ yang akan diadakan oleh gerakan itu bersempena sambutan Valentine’ s Day pada 14 Februari ini.
“Gemar akan turun beraksi di lapangan pada 11 dan 12 Februari ini. Kawasan yang dipilih adalah di Pantai Jerjak, Queensbay dan Hentian Rehat Pantai Bersih, Bagan Ajam. Kemuncak acara ini adalah pada 14 Februari 2012 iaitu majlis pelancaran Gemar di Masjid At-Taqwa Bertam Pulau Pinang,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, NGO yang menyatakan komitmen untuk menyertai Gemar adalah IKRAM, NISA’ Pulau Pinang, Kelab Remaja Lestari, Ikatan Persaudaraan Muslimah Pulau Pinang (Salimah), Aktivis Pengupayaan Insan (API), Komuniti Suara Kehidupan dan Qaryah Masjid At-Taqwa Bertam.
Jelas kenyataan itu, Valentine’s Day tidak selari dengan syariah Islam dan dicemari dengan konsep yang mengajar orang ramai untuk memuja kekasih secara berlebihan dan Gemar diwujudkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya. – mynewshub
Tukar sambutan 'Valentine' kepada Hari Suami Isteri
KOTA BAHARU - Kerajaan Pas Kelantan bercadang menggantikan hari mengingati kekasih `Valentine's Day' yang disambut pada setiap 14 Februari kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah lebih elok jika Hari Valentine, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.
"Untuk masa akan datang, kita bersetuju untuk menukar Valentine's Day kepada sambutan Hari Suami Isteri setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Wan Ubaidah Wan Omar.
Beliau berkata tujuan kerajaan menjadikan sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan bagi menggalakkan umat Islam menghayati kehidupan keluarga bahagia mengikut acuan Islam sebenar.
Ini selaras dengan matlamat kerajaan melancarkan kempen menggalakkan remaja melangsungkan perkahwinan melalui program Gerbang Az-ziwaj yang diperkenalkan dua tahun lepas melibatkan 100 pasangan mengadakan perkahwinan secara berkelompok, katanya.
Melalui program itu, katanya kerajaan negeri menyediakan bantuan RM1,000 bagi setiap pasangan yang kurang mampu untuk membiayai mas kahwin dan majlis perkahwinan yang dilangsungkan.
Nik Abdul Aziz melahirkan kebimbangan gejala sosial yang berlaku di seluruh negara akibat pergaulan bebas dan perkahwinan tidak sah menyebabkan kadar kelahiran anak luar nikah atau anak zina mencecah lebih 234,00 di seluruh negara dalam tempoh 2006 hingga 2010.
Menurutnya lebih membimbangkan lagi apabila kira-kira 81,000 daripada jumlah itu melibatkan orang Melayu atau umat Islam dari seluruh negara.
Untuk tujuan itu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri mewujudkan Pusat Perlindungan Wanita untuk menempatkan wanita yang menjadi mangsa yang terlibat dengan gejala sosial akibat pergaulan bebas dan penganiayaan suami yang tidak bertanggung jawab.
Sementara itu, Wan Ubaidah berkata pusat itu di Pengkalan Chepa mula menerima penghuni terdiri daripada ibu tunggal dan wanita yang merupakan mangsa gejala sosial.- Bernama