KLANG, 22 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak menjelaskan urusan dagangan yang dilakukan antara Malaysia dengan entiti haram Israel yang telah lama berlaku.
Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berharap Najib tampil untuk membuat penjelasan kepada seluruh rakyat yang telah ditipu oleh Kerajaan Barisan Nasional mengenai pendirian Malaysia dengan negara tersebut.
"Kita kesal kerana selama ini telah dibohongi oleh kerajaan yang selama ini mengatakan menentang kekejaman Israel tetapi pada masa yang sama telah menjalinkan urusan perdagangan.
"Kita mahu Najib tampil beri penjelasan kenapa kerajaan jangan mengambil sikap berdiam diri kerana segala bukti mengenai urusan perdagangan dan kapal Zim itu telah kita perolehi," katanya pada himpunan aman membantah kemasukan kapal hak milik Israel Zim Integrated di West Port, Pelabuhan Klang, petang ini
Tambahnya lagi, kenyataan yang dibuat oleh pihak pengurusan West Ports mengatakan kapal tersebut hanya singgah sebelum ke destinasi seterusnya adalah satu pembohongan.
"Rakyat hari ini tidak boleh ditipu lagi, adalah suatu yang mustahil apabila mengatakan kapal tersebut hanya singgah tanpa ada urusan perdagangan sedangkan kita lihat sudah banyak lori membawa kontena menulis perkataan Zim keluar masuk pelabuhan.
"Apa yang nak dibohongkan, bukti kita jelas jangan cuba menyembunyikan sesuatu yang telah kita ketahui, Najib dan Kerajaan Malaysia perlu bertanggungjawab atas penghinaan yang telah dilakukan ini," sambungnya lagi.
Sementara itu, Setiausaha MTD PAS Kawasan Pandan, Mohd Hafis Razak yang mewakili Dewan Pemuda PAS turut menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat membantah sekeras-kerasnya hubungan dagang yang dilakukan oleh kerajaan.
"Kita hari ini kecewa dan membantah hubungan dagang yang dilakukan oleh kerajaan, malah jelas selama ini kerajaan hanya berbohong menentang kezaliman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
"Ini bukti jelas bahawa wujud hubungan sulit dan bersekongkolnya kerajaan dengan negara rejim itu, kita mahu hubungan ini dihentikan segera jika tidak rakyat akan bangkit membuat bantahan yang lebih besar lagi," katanya.
Sebelum itu, demostrasi bantahan kemasukan kapal Israel itu dihadiri lebih 150 orang yang terdiri dari anggota parti dalam Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk juga wakil Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Dalam ucapan ringkan, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI), Khalid Mohd Ismath turut meminta kerajaan hentikan segera hubungan dagangan mahupun diplomatik secara tidak langsung.
Malah, beliau turut memberitahu kegagalan kerajaan bertindak mahasiswa akan tampil sekali lagi untuk membuat demostrasi besar-besaran di West Ports ini.
Sebelum itu, dalam satu kenyataan media Ketua korporat West Ports Malaysia, Mejar (B) Manisegaran memberitahu West Ports tidak pernah memberi lampu hijau kepada kapal didaftar di Israel untuk berlabuh.
Beliau turut menyatakan memang ada kapal Zim masuk tetapi hanya untuk singgah, mereka tidak dibenarkan menetap dan anak kapal pula dilarang menjejak kaki ke darat, jauh sekali melakukan urusan perniagaan dengan kapal itu. -Hrkh