Justeru, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor (gambar) melahirkan keyakinan, Pakatan Rakyat akan memberikan contoh yang terbaik dalam pemerintahan nanti.
“Semua rakyat akan diperlakukan dengan adil dan saksama dan tidak akan insan yang akan menerima nasib sebagaimana yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, kata beliau DPPM meyakini akan berlaku kejutan dan perubahan dalam pemerintahan negara selepas PRU13 nanti.
Ini, katanya dapat dilihat melalui petunjuk daripada mood serta sokongan rakyat akhir-akhir ini kepada Pakatan Rakyat yang semakin meningkat mendadak.
Ini juga, tambahnya menandakan bahawa era pemerintahan Umno BN bakal berakhir tidak lama lagi.
Justeru, ujarnya DPPM meminta pemimpin Umno BN bersedia menerima kenyataan sekiranya rakyat menghukum dan menolak kepemimpinan mereka dalam PRU13.
Oleh itu, katanya lagi DPPM meminta supaya Umno BN tidak menggunakan taktik kotor dalam PRU13 semata-mata mahu mengekalkan kuasa mereka.
“Bagi DPPM, cara ini adalah cara yang tidak beradab kerana menolak hak rakyat yang sebenar di negara ini.
“Pemimpin Umno BN juga diminta berlapang dada dan berjiwa besar dengan tidak menggunakan taktik ganas seperti mengugut, memukul atau mencederakan mana-mana aktivis atau pemimpin PR,” katanya.
Bagi DPPM, tambah Riduan kezaliman Umno BN sudah berada di kemuncaknya.
Menurutnya, selama berpuluh tahun rakyat bersabar di atas segala penindasan yang dilakukan seperti ISA, OSA, AUKU, fitnah pemimpin PR melalui media, akses media yang berat sebelah, serta ugutan-ugutan terhadap rakyat.
Kini,kata beliau adalah masa rakyat meluahkan segala kemarahan mereka melalui PRU13.
Dalam pada itu, beliau berkata DPPM menegaskan bahawa segala kezaliman yang dilakukan oleh Umno BN tidak akan dibalas dengan bentuk kezaliman yang sama sekiranya Pakatan Rakyat menang PRU13 nanti.
“Segala akta yang menjerut rakyat akan dihapuskan manakala rakyat akan dibantu semaksimum mungkin bagi meringankan beban hidup mereka,” ujarnya lagi.
Beliau menegaskan, hak rakyat yang diambil pula akan diberikan kepada mereka kembali. -Hrkh